Jerman berjaya henti gelombang ketiga

BERLIN, 7 MEI – Jerman sepertinya telah menghentikan lonjakan jangkitan koronavirus yang disebabkan oleh varian Britain, kata menteri kesihatannya hari ini, namun mengingatkan agar tidak melonggarkan sekatan terlalu cepat.

“Gelombang ketiga nampaknya sudah berakhir,” kata Jens Spahn pada sidang media di Berlin. “Angka jangkitan menurun lagi, tetapi kami masih berada di tahap tinggi,” katanya.

Badan kesihatan Institut Robert Koch Jerman mencatatkan 18,485 jangkitan baharu dalam 24 jam terakhir hari ini berbanding dengan 27,543 pada hari yang sama dua minggu yang lalu.

Di bawah sekatan virus yang diperkenalkan pada bulan April lalu, kawasan dengan kadar di bawah 100 kes dibenarkan untuk mula mengurangi beberapa sekatan. Tetapi Spahn memberi amaran bahawa pengurangan sekatan ‘hanya akan membantu virus menular’.

“Dalam fasa pandemik ini, sebenarnya tidak perlu mempertaruhkan apa yang telah dicapai,” katanya.

Dewan tertinggi Bundesrat hari ini meluluskan undang-undang baharu untuk membatalkan beberapa sekatan bagi orang yang diberi vaksin sepenuhnya dan mereka yang telah pulih dari COVID-19. – AFP