Jerman catat lebih 50,000 korban COVID-19

BERLIN, 22 JAN – Jerman hari ini mencatat lebih daripada 50,000 kematian koronavirus sejak pandemik bermula, tatkala pegawai kesihatan awam meluahkan perasaan optimistik mengenai kadar jangkitan yang berkurangan.

Pusat kawalan penyakit Institut Robert Koch (RKI) berkata 859 orang telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, membawa jumlah kematian kepada 50,642.

“Ia merupakan jumlah yang amat membimbangkan bagi saya,” beritahu ketua RKI Lothar Wieler kepada wartawan. Namun, Wieler berkata beliau melihat tanda-tanda memberangsangkan dalam angka jangkitan baharu yang merupakan hasil daripada sekatan yang diperkenalkan pada Disember. RKI berkata ia telah mencatat 17,862 kes baharu sehari sebelumnya, membawa jumlah jangkitan dalam pandemik kepada lebih 2.1 juta.

Wieler berkata beliau melihat ‘trend positif’ dalam jumlah pada bulan lalu dengan jangkitan baharu melebihi 20,000. Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan supaya mengekalkan sekatan yang dikenakan sekarang sehingga Jerman melihat kemerosotan ‘besar’ dalam kes dan kematian.

Pada sidang media sama, Menteri Kesihatan Jens Spahn menganggap angka ‘menggalakkan’ tetapi mengingatkan ia ‘masih terlalu tinggi.’ – AFP

Gambar fail menunjukkan orang ramai menunggu di stesen kereta api bawah tanah di Frankfurt, Jerman. Lebih 50,000 orang telah maut selepas dijangkiti COVID-19 di Jerman. – AP