MILTON KEYNES, UNITED KINGDOM, 28 JULAI – Kapten pasukan Jerman, Alexandra Popp berkata beliau menikmati prestasi permainannya di Euro 2022, lebih-lebih lagi berikutan kecederaan yang dialaminya selepas berjaya menjaringkan dua gol menewaskan Perancis 2-1 dalam perlawanan separuh akhir kelmarin.
Pasukan Popp bakal berdepan dengan pasukan tuan rumah, England dalam perlawanan bola sepak Euro wanita dengan keramaian 87,000 penonton di Wembley pada Ahad ini.
Hanya berjaya mara ke kejohanan Euro adalah satu kejayaan bagi penyerang Wolfsburg selepas terlepas dua perlawanan di Kejohanan Eropah yang disebabkan oleh kecederaan.
Pemain berusia 31 tahun itu kembali dari dua pembedahan lutut pada 15 bulan yang lalu untuk menyertai perlawanan dan berjaya meraih enam gol dalam lima perlawanan di England.
“Saya sedang menikmati detik-detik sebegini. Saya suka dengan bola sepak,” kata Popp selepas mencatat rekod terbaharunya dengan menjadi wanita pertama yang menjaringkan gol dalam lima perlawanan rentetan di Euro wanita.
“Ia tidak bermakna saya tidak menikmati perlawanan sebelum ini. Kini adalah untuk merasakan detik-detik bermain di atas padang, saya sangat menghargainya,” katanya lagi.
“Ia menjadi sesuatu yang sangat istimewa untuk berada di sini ditambah lagi dengan prestasi perseorangan, tetapi juga sebagai satu pasukan yang begitu berjaya,” tambahnya.
Dua jaringan golnya juga membawanya menyamai tahap dengan pemain dari England, Beth Mead dalam memperoleh enam gol pada perlawanan merebut Golden Boot, selain itu menyamai rekod perseorangan wanita dalam Kejohanan Eropah yang disandang oleh Inka Grings semasa Euro 2009. – AFP