BERLIN, 7 JULAI – Penggubal undang-undang Jerman hari ini bersedia untuk meluluskan pembaharuan berskala besar yang bertujuan untuk merangsang penghasilan tenaga boleh diperbaharui, ketika Cancelor Olaf Scholz menegaskan bahawa negara itu sudah lama bergantung pada bekalan tenaga dari Rusia.
Kerajaan telah mendedahkan ‘pakej Easter’ dalam dokumen 600 muka surat pada April lalu, kurang dari dua bulan selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menyebabkan krisis bekalan tenaga antara Moscow dan jiran barat Eropah, yang mana kebanyakan negara adalah pembeli bahan api fosil Rusia. Jerman mengurangkan aktiviti import tenaganya dari Rusia dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kerajaan berhasrat untuk menghentikan pembelian arang dan minyak Rusia pada tahun ini, serta gas asli menjelang 2024.
Sementara itu, Scholz berkata kelmarin, peperangan tersebut adalah salah satu sebab ekonomi terbesar Eropah ingin menggandakan usahanya untuk memperluaskan penggunaan tenaga diperbaharui.
“Jerman bergantung pada sumber itu untuk tempoh masa yang terlalu lama dan ia melibatkan bekalan tenaga dari Rusia,” katanya pada majlis industri tenaga boleh diperbaharui di Berlin. “Hari ini, kami sedar Rusia menggunakan tenaga sebagai satu senjata. Lagipun, tiada siapa yang percaya Rusia mengurangkan bekalan tenaga mereka atas sebab masalah teknikal,” tambahnya.
Kerajaan Scholz baru-baru ini memberi jaminan untuk mempercepatkan penubuhan kemudahan yang menggunakan sumber tenaga matahari dan angin, menetapkan sasaran yang akan menjana 80 peratus tenaga bersih elektrik Jerman melalui sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030, sekali gus mengurangkan penghasilan gas rumah hijau dari semua sumber tenaga kepada sifar bersih menjelang 2045.
Walau bagaimanapun, pakar ekonomi mempersoalkan jika matlamat tersebut boleh dicapai dengan langkah-langkah yang dilaksanakan pada masa ini. – AP