Jerman jinakkan Ireland Utara

BELFAST, 10 SEPT – Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata bahawa pasukannya masih berada dalam ‘fasa belajar’ selepas mereka kembali ke landasan untuk layak ke Euro 2020 dengan kemenangan sukar 2-0 ke atas Ireland Utara awal pagi tadi.

Jerman berkunjung ke Belfast dengan terdesak untuk meraih kemenangan selepas tewas 4-2 kepada Belanda di Hamburg minggu lepas, menyebabkan mereka dalam bahaya terlepas slot kelayakan automatik.

Namun kemenangan tadi menyaksikan mereka menyingkirkan Ireland Utara dari kedudukan teratas Kumpulan C, menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kalah skuad Michael O’Neill.

“Kami berada di bawah tekanan selepas tewas kepada Belanda,” kata Loew.

Perasaan gemuruh pasukannya dapat dikesan pada separuh masa pertama, sebelum gol-gol menerusi Marcel Halstenberg dan Serge Gnabry mengesahkan tiga mata selepas rehat.

“Kami perlu mengatasi beberapa masalah dalam perlawanan, pemain-pemain Ireland Utara sangat berani dan menyerang kami dari awal lagi,” kata Loew, dan mengakui bahawa pasukannya sepatutnya dapat menamatkan perlawanan lebih awal.

“Kami pasukan yang lebih baik pada separuh masa kedua. Kami masih dalam fasa belajar,” katanya.

Pasukan muda Loew bergelut menangani Ireland Utara pada separuh masa pertama. – AFP

Serge Gnabry menjaringkan gol kedua dari sudut sukar ketika menentang Ireland dalam saingan kelayakan Euro 2020. – AFP