BERLIN, 23 MEI – Jerman akan mengenakan kuarantin terhadap pelawat yang tiba dari Britain disebabkan penularan varian koronavirus yang pertama ditemui di India di sana, kata institut kesihatan Robert Koch.
Mulai hari ini, semua pelawat yang tiba dari UK perlu menjalani kuarantin selama dua minggu, tanpa mengira sama ada mereka boleh memberikan keputusan ujian negatif untuk virus tersebut. Hanya rakyat dan penduduk Jerman yang dibenarkan masuk dari Britain, dengan syarikat penerbangan, kereta api dan bas dilarang daripada membawa semua penumpang lain dari negara itu.
Hanya 11 negara lain di Asia, Afrika dan Latin Amerika yang disenaraikan oleh Jerman dalam kategori zon berisiko tinggi sekarang di mana varian virus sedang menular.
Varian India B.1.627.2 dianggap amat mudah berjangkit dan telah menjadi satu faktor yang mendorong ledakan dalam jangkitan koronavirus di India dalam beberapa bulan ini.
Menurut Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock, 2,967 kes yang dikaitkan dengan varian itu telah dikesan di UK, kebanyakannya di London dan barat England. Angka tersebut mewakili kenaikan 30 peratus sejak Isnin lalu. Namun setakat ini, kerajaan Britain menegaskan ia yakin dapat membatalkan hampir kesemua sekatan ke atas kehidupan awam mulai 21 Jun, selepas kejayaan kempen vaksinasi.
Awal Jumaat, Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn menyuarakan kebimbangan mengenai situasi di Britain, menekankan keperluan untuk mengelak varian India daripada merebak di Jerman. – AFP



































