BERLIN, 20 JAN – Jerman semalam memperketat sekatan dan melanjutkannya sehingga 14 Februari, dalam usaha untuk mengekang penularan koronavirus, termasuk varian baharu yang dipercayai lebih mudah berjangkit.
Susulan rundingan krisis beberapa jam, Canselor Angela Merkel dan pemimpin 16 negeri juga bersetuju untuk menjadikan pemakaian topeng perubatan mandatori dalam pengangkutan awam dan kedai – bermakna hanya topeng pembedahan atau topeng FFP2 yang akan dibenarkan.
Mereka juga berkata majikan mesti membenarkan kakitangan bekerja dari rumah pada bila-bila masa, menurut teks terakhir yang dilihat oleh AFP.
Langkah itu merupakan lanjutan kepada rayuan sebelum ini kepada syarikat supaya membenarkan lebih banyak ‘pejabat rumah’ diwujudkan di Jerman.
“Segala usaha kami untuk membendung virus diancam oleh risiko serius,” beritahu Merkel kepada wartawan, merujuk kepada strain baharu virus yang telah membawa peningkatan dalam jangkitan di Britain dan Ireland.
“Masih adanya masa untuk membendung ancaman ini,” kata beliau. “Kami mesti bertindak sekarang.”
Beliau menambah kawalan lebih ketat diperlukan sebagai ‘langkah pencegahan untuk negara kami, kesihatan rakyat kami dan juga untuk ekonomi.’ – AFP






























