Jerman lanjutkan amaran perjalanan luar negara

BERLIN, 29 APRIL – Jerman melanjutkan amaran terha-dap perjalanan di seluruh dunia sehingga 14 Jun tatkala kawalan kekal dikuatkuasakan di kebanyakan negara untuk mengekang pandemik koronavirus, kata Menteri Luar Heiko Maas hari ini.

“Kami masih belum mencecah tahap di mana kami boleh menyarankan perjalanan bebas sepenuhnya,” kata Maas. “Dengan itu, amaran perjalanan di seluruh du-nia perlu dilanjutkan sehingga pertengahan Jun.”

Ekonomi terbesar Eropah itu telah membawa pulang 240,000 pelancong yang terkandas dalam tempoh empat minggu lalu, kata Maas, menambah ‘kami tidak akan mengambil tindakan sedemikian pada musim panas akan datang.’

“Kami masih menghadapi situasi di mana terdapat sekatan masuk dan keluar di kebanyakan negara, dan perjalanan udara antarabangsa telah dihentikan,” kata beliau.

Jerman akan terus membincang situasi berkenaan dengan rakan Eropah pada masa ini, tambah beliau.

“Ia akan mengambil masa beberapa minggu sebelum keadaan kembali kepada normal di sini dan negara lain. Justeru kami tidak mengandaikan kami boleh berkunjung di seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu akan datang, sekurang-kurangnya sehingga 14 Jun.”

Jerman telah menutup sempadan daratnya dan Kesatuan Eropah juga telah menutup sempadan luar kepada pengunjung masuk untuk membendung penularan koronavirus. Kerajaan pada Mac bersetuju untuk membelanja 50 juta euro dalam satu perjanjian dengan syarikat penerbangan komersial untuk membawa rakyat pulang dari rantau terjejas.

Maas telah pun menyuramkan jangkaan warga Jerman untuk menghabiskan cuti musim panas dalam temu bual dengan akhbar Bild am Sonntag pada hujung minggu.

“Kami telah mengalami apa yang mampu dilakukan oleh jangkitan berkelompok di destinasi percutian popular,” tambah beliau, merujuk kepada rantaian jangkitan yang bermula di resort ski Austria Ischgl. – AFP

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas mengumumkan pelanjutan amaran perjalanan seluruh dunia di depan Kementerian Luar di Berlin kelmarin. – AFP