Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman ‘layak disingkirkan’ – Loew

    KAZAN, 28 Jun – Jurulatih Jerman, Joachim Loew (gambar) berkata bahawa dia kecewa melihat skuad juara bertahan itu tersingkir daripada Piala Dunia Rusia tetapi mengakui mereka sememangnya ‘layak disingkirkan’ selepas tewas 2-0 kepada Korea Selatan.

    Juara dunia empat kali berkenaan perlu menewaskan pasukan dari Asia itu dengan kelebihan dua gol dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan F di Kazan untuk mara ke peringkat 16 pasukan terakhir.

    Namun, selepas mempersia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol, Jerman dikejutkan dalam tempoh lima minit masa kecederaan apabila Korea Selatan menjaringkan dua gol untuk mencipta kemenangan bersejarah ke atas pasukan ranking pertama dunia dan menyingkirkan Jerman ke kedudukan terbawah kumpulan. Ini adalah kali pertama Jerman gagal ke pusingan kalah mati Piala Dunia sejak 1938.

    “Saya terkejut kerana kami tidak berjaya menewaskan Korea Selatan dan layak,” kata Loew yang berkata dia perlu menunggu selama ‘beberapa jam’ sebelum membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya.

    “Kekecewaan kerana kami tersingkir amat besar,” kata Loew.

    “Kami tidak berhak menang dan meraih gelaran itu sekali lagi, kami tidak berhak ke peringkat 16 pasukan terakhir. Kami cuba sedaya upaya untuk menang, tetapi kami tidak dapat mendahului.” Jerman adalah juara bertahan keenam gagal melepasi halangan pertama dan kegagalan mereka tiba empat tahun selepas juara bertahan, Sepanyol juga gagal melepasi peringkat kumpulan di Brazil.

    Skuad kendalian Loew memulakan kempen dengan kekalahan 1-0 di tangan Mexico sebelum kembali mencipta kemenangan di saat-saat terakhir 2-1 membenam Sweden.

    Sweden mengungguli kumpulan itu selepas membelasah Mexico 3-0, namun Mexico turut mara sebagai pemenang kedua. “Pertama sekali kami perlu mengucapkan tahniah kepada dua lawan kami, yang berjaya melepasi kumpulan ini,” kata Loew. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda