Jerman mula uji vaksin pertama

BERLIN, 22 APRIL – Jerman telah meluluskan ujian klinikal vaksin pertama untuk koronavirus, kata badan pengawal selia negara hari ini, membenarkan ujian percubaan ke atas anggota sukarelawan untuk vaksin RNA yang dihasilkan oleh firma Jerman Biontech dan syarikat Amerika Syarikat (AS) Pfizer.

“Institut Paul-Ehrlich telah meluluskan percubaan klinikal vaksin pertama ke atas COVID-19 di Jerman,” kata badan pengawal selia PEI dalam satu kenyataan.

Percubaan itu, yang merupakan keempat yang dibenarkan di seluruh dunia, merupakan satu ‘langkah penting’ dalam menghasilkan satu vaksin ‘secepat mungkin,’ tambah institut itu.

Ia berkata kebenaran adalah ‘hasil penilaian teliti risiko atau profil faedah berpotensi dari calon vaksin.”

Percubaan akan melihat ‘200 sukarelawan sihat berusia di antara 18 dan 55 tahun’ divaksin dengan jenis vaksin RNA, sementara fasa kedua akan melihat sukarelawan dalam kumpulan berisiko tinggi.

PEI dan firma tidak berkata bila percubaan akan bermula, walaupun Biontech mendakwa dalam satu kenyataan ia akan bermula ‘tidak lama lagi’ dan ‘sebelum jangkaan kami.’

PEI juga mendakwa ‘percubaan klinikal lanjut untuk calon vaksin COVID-19 akan bermula di Jerman dalam masa beberapa bulan akan datang.’ – AFP

Dua wanita memakai penutup mulut dan hidung berjalan di hadapan poster sebuah pasar raya di Berlin, Jerman, kelmarin. Jerman telah meluluskan ujian klinikal vaksin pertama untuk koronavirus. – AFP