Jerman: Pengkritik Putin diracuni Novichok

BERLIN, 3 SEPT – Pemimpin Barat menuntut penjelasan dari Moscow semalam selepas Jerman berkata Alexei Navalny diracuni dengan agen saraf Novichok dalam satu percubaan untuk ‘menutup mulut’ pemimpin pembangkang Rusia.

Pemimpin berusia 44 tahun itu pada bulan lalu menjadi mangsa terbaharu pembelot dan pengkritik Presiden Vladimir Putin yang diracuni dalam keadaan mencurigakan, dan kini dirawat di hospital di Berlin.

Ujian perubatan dari makmal senjata kimia tentera Jerman telah memberikan ‘bukti jelas’ bahawa Navalny telah diracuni oleh Novichok, racun yang pertama dibangunkan oleh Kesatuan Soviet pada akhir Perang Dingin.

Hasil keputusan telah mencetuskan ‘beberapa soalan amat serius di mana hanya Rusia boleh dan mesti memberikan jawapan,” kata Canselor Jerman Angela Merkel.

“Sudah pasti Alexei Navalny merupakan mangsa jenayah,” tambah beliau. “Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan.”

Berita itu menimbulkan kecaman baharu daripada pemimpin Eropah lain dalam hal ehwal yang telah pun memburukkan lagi ketegangan di antara Rusia dan Barat.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata keracunan Navalny adalah ‘melampau,’ sementara Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian mengutuk serangan ‘mengejutkan dan tidak bertanggung jawab itu.’

Agen saraf itu, dengan namanya bermakna ‘pendatang baharu’ dalam bahasa Rusia, boleh digunakan dalam bentuk serbuk halus, cecair atau wap.

Ia digunakan menentang bekas pengintip Sergei Skripal di Britain pada 2018, satu percubaan pembunuhan yang dipercayai Barat diarahkan oleh Kremlin meskipun dinafi oleh Rusia. – AFP

Angela Merkel memberikan kenyataan di Dewan Canselor di Berlin selepas ujian yang dijalankan oleh tentera Jerman mempunyai ‘bukti jelas’ tentang penggunaan agen saraf dari keluarga Novichok ke atas ketua pembangkang Rusia. – AFP