Jerman perlu bangun daripada tidur

KAZAN, 27 Jun – Joachim Loew menyeru pasukan Jerman untuk menjadi penentu masa depan pasukan apabila mereka berdepan Korea Selatan untuk mengelakkan penyingkaran awal hari ini.

Meskipun beroleh kemenangan 2-1 ke atas Sweden, pasukan Loew kini berdepan bahaya menjadi pasukan Jerman pertama yang gagal untuk melepasi peringkat pembukaan sejak 1938 selepas tewas 1-0 di tangan Mexico dalam perlawanan pertama.

Loew yang berdepan dengan kritikan media Jerman, meminta Thomas Mueller untuk kembali dengan sentuhan emasnya selepas aksi yang kurang memberangsangkan oleh pemain penyerang Bayern Munich itu.

Jerman akan mara ke peringkat kalah mati jika mereka menang dengan dua gol tetapi mereka perlu mencari jalan untuk membalas serangan pasukan Korea Selatan di mana Loew menyifatkannya sebagai pasukan yang ‘laju, lincah dan bahaya apabila melakukan serangan balas.’

Joachim Loew memberi arahan kepada Jerome Boateng semasa sesi latihan di Vatutinki baru-baru ini. – AP

“Saya tidak tahu apakah peluang yang Korea Selatan ada untuk memenangi perlawanan ini dan begitu juga dengan kami,” kata Loew di Arena Kazan.

“Tetapi kami perlu tahu apa yang perlu kami capai. Kami perlu menjaringkan dua gol dan ia memberikan kami peluang untuk mara. Kami perlu menguasai penentu nasib pasukan esok (hari ini).”

Beberapa orang berpendapat bahawa Korea Selatan mempunyai peluang untuk memusnahkan harapan pasukan lawan susulan kekalahan di tangan Sweden dan Mexico, keempat-empat pasukan bersaing untuk kedudukan dua teratas kumpulan. – AFP