Jerman pertimbang sekatan lebih ketat

FRANKFURT AM MAIN, 15 JAN – Jumlah kes koronavirus Jerman mencecah dua juta hari ini, tatkala Canselor Angela Merkel mendesak sekatan lebih ketat dikuatkuasakan untuk mengawal kadar jangkitan.

Negara yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Kesatuan Eropah itu melaporkan 22,368 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, menurut agensi kesihatan Institut Robert Koch (RKI) Jerman, membawa jumlah kes sejak bermulanya pandemik kepada 2,000,958.

Ia juga melaporkan 1,113 kematian COVID-19, membawa jumlah kematian keseluruhan kepada 44,994.

Berita tersebut keluar beberapa jam selepas Merkel menggesa kawalan lebih ketat dikenakan ke atas kehidupan awam untuk mengawal wabak.

Pada satu mesyuarat anggota tertinggi parti CDU, Canselor Jerman berkata beliau mahu mengadakan rundingan krisis dengan pemimpin serantau ‘pada minggu-minggu akan datang,’ beritahu peserta kepada AFP.

Mereka memetik beliau sebagai berkata virus hanya dapat dihentikan dengan ‘langkah tambahan lebih ketat.’

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai strain koronavirus yang muncul baru-baru ini di Britain dan dianggap lebih mudah berjangkit, berkata orang awam perlu mengurangkan kontak sosial mereka.

Merkel dan pemimpin 16 negeri Jerman pada asalnya dijadual mengadakan mesyuarat mereka pada 25 Januari untuk menilai langkah terbaharu yang bakal dilaksanakan.

Di antara opsyen lebih ketat dipertimbangkan adalah pemeriksaan sempadan, wajib memakai penutup mulut dan hidung berkualiti FFP2 di sesetengah tempat dan menggesa lebih ramai orang bekerja dari rumah, lapor akhbar Der Spiegel. – AFP

Gambar fail menunjukkan Canselor Jerman AngelaMerkel (dua kiri) bersama perdana menteri BavariaMarkusSoeder (kiri), datuk bandar BerlinMichaelMueller (kanan) dan SteffenSeibert tiba untuk sidang media mengenai pelanjutan sekatan virus. – AFP