Jerman pulangkan artifak Maya yang disembunyikan

BERLIN – Pada Rabu lalu, Jerman memulangkan koleksi artifak Maya purba ke Guatemala dan Mexico selepas polis mendapati ia disembunyikan di ruang bawah tanah sebuah rumah ladang di negeri Saxony-Anhalt tahun lepas.

13 objek berkenaan termasuk pasu, patung dan pinggan bertarikh antara 250 dan 850 Masihi, kata kerajaan wilayah Saxony-Anhalt.

Perdana menteri negeri Reiner Haseloff menyerahkan koleksi kepada duta Guatemala Jorge Lemcke Arevalo dan duta Mexico Francisco Quiroga pada satu majlis di Berlin pada hari Jumaat.

Sebelas daripada objek itu dibuat di kawasan yang kini dikenali sebagai Guatemala tetapi ia juga termasuk dua patung dari Teotihuacan, bandar terbesar di pra-Aztec tengah Mexico, terletak kira-kira 40 kilometer dari Mexico City.

“Ini memberi kami harapan bahawa pemilik lain yang mempunyai barangan serupa dalam koleksi peribadi akan melakukan yang sama” untuk mengembalikannya, beritahu Arevalo pada sidang akhbar. Quiroga menggelar langkah tersebut sebagai ‘contoh yang luar biasa.’

“Perdagangan haram dalam objek budaya mesti dihentikan dan diperangi,” kata Haseloff sambil menambah penyerahan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran.

“Objek yang dirompak atau dicuri dari bekas jajahan boleh didapati bukan sahaja di muzium, tetapi juga di bilik bawah tanah kita,” katanya.

Pemilik rumah ladang itu telah menguburkan khazanah Maya dalam sebuah kotak pada tahun 2007 bersama-sama dengan dua pucuk senapang Perang Dunia II yang dimiliki oleh datuknya.

Dia menghubungi polis pada 2020 untuk mengaku kotak itu boleh ditemui di ruang bawah tanah rumah ladang itu, dengan mengatakan dia mahu mematuhi undang-undang penyerahan senjata haram.

Polis menjumpai senjata api itu tetapi mereka terkejut, turut menemui objek yang dibungkus dengan surat khabar, kata pendakwa raya tempatan.

Lelaki itu berkata dia tidak mengetahui asal-usul objek itu atau nilai sebenar mereka.

Menurut pihak berkuasa Saxony-Anhalt, objek itu mungkin telah dicuri oleh perompak kubur di Guatemala dan Mexico sebelum dijual di pasaran gelap. – AFP

Gambar menunjukkan cawan, atau bekas minuman, sebahagian daripada koleksi kecil artifak budaya Maya yang diserahkan kepada Mexico dan Guatemala di Berlin. – AFP
(Dari kiri) Duta Guatemala ke Jerman Jorge Lemcke, Menteri Jerman di Kementerian Luar Negeri Michelle Muentefering, Duta Mexico ke Jerman Francisco Quiroga dan Perdana Menteri Saxony-Anhalt Reiner Haseloff melihat artifak budaya Maya semasa majlis penyerahan di Berlin. – AFP