Jerman rekod kes harian tertinggi COVID-19

BERLIN, 10 NOV – Jerman hari ini merekodkan kes harian COVID-19 tertinggi baharu sejak pandemik bermula tahun lepas mendorong pihak berkuasa mempertimbangkan langkah pencegahan lebih ketat.

Menurut Institut Robert Koch (RKI) sepanjang 24 jam lalu sebanyak 39,676 kes baharu COVID-19 dilaporkan dan 236 kematian, lapor Agensi Anadolu.

Kes aktif meningkat kepada 331,200, tertinggi pernah dicatatkan sejak gelombang keempat melanda.

Kes baharu meningkat mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan ini di wilayah timur Saxony dan Thuringia, wilayah yang kadar vaksinasi paling rendah berbanding 16 lagi negeri persekutuan.

RKI pada minggu lalu memberi amaran bahawa jangkitan COVID-19 mungkin meningkat di Jerman memandangkan sebilangan besar penduduk belum diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Setakat ini, 55.9 juta orang atau 67.2 peratus penduduk di Jerman telah lengkap divaksinasi.- Bernama