Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman, Sepanyol perlu berganding bahu

    MADRID, 13 Ogos – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dan Kaunselor Jerman, Angela Merkel, sepakat mengenai perlunya kerjasama antara negara Kesatuan Eropah (EU) dan Maghribi ditingkatkan dalam perkara berkaitan migrasi.

    Kesepakatan itu dicapai kedua-dua pihak dalam satu pertemuan di Sanlúcar de Barrameda, Sepanyol pada hujung minggu.

    “Maghribi dihimpit masalah kebanjiran migran dari sub-Sahara Afrika, jadi kerjasama dengan negara asal migran dan negara transit amat diperlukan,” kata Sanchez pada sidang media selepas pertemuan itu.

    Sanchez mengulangi rumusan Majlis Eropah pada Jun lalu, yang menggambarkan komitmen semua institusi dan negara EU mengenai perlunya mengukuhkan kerjasama dengan Maghribi dan memberikan negara itu peranan penting dalam menguruskan kemasukan migran.

    Selain itu ujarnya, rundingan juga sedang diadakan dengan Suruhanjaya Eropah (EC) berhubung sumber kewangan yang diperlukan untuk membantu Maghribi.

    Sementara itu Merkel berkata, negara Eropah bukan hanya perlu bercakap mengenai Afrika sebaliknya bersama-sama dengan negara itu, untuk menangani fenomena penghijrahan dan tampil dengan nada yang sama pada Sidang Kemuncak Ketua Negara, dijadual di Salzburg pada September.

    Sejak awal tahun 2018, lebih 24,000 pendatang dan pelarian Afrika masuk ke Eropah melalui Mediterranean. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda