Jerman setuju denda jika tidak memakai penutup mulut

BERLIN, 27 OGOS – Jerman akan mengenakan peraturan yang lebih ketat terhadap pemakaian penutup mulut dan hidung dan melanjutkan larangan peminat dari masuk ke stadium sehingga akhir hujung tahun ini untuk memerangi lonjakan kes COVID-19 yang membimbangkan, di bawah draf yang dilihat oleh AFP hari ini.

Canselor Angela Merkel akan bertemu dengan 16 pemimpin negeri persekutuan Jerman hari ini untuk menyetujui langkah-langkah baharu itu secara rasmi, yang akan dikenakan di seluruh negara.

Mereka akan mengenakan denda minimum 50 euro (AS$59) kepada sesiapa yang melanggar peraturan pemakaian penutup mulut dan hidung.

Sehingga kini setiap negeri di Jerman menetapkan denda sendiri dengan denda yang berbeza-beza, dari 40 euro di Hamburg hingga 250 euro di Bavaria.

Jerman juga merancang untuk melanjutkan larangan acara besar-besaran dari Oktober hingga akhir tahun ini untuk semua festival dan konsert hingga acara sukan besar yang melibatkan penonton.

Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada kelab bola sepak Jerman yang berharap dapat mengundang penyokong kembali ke pertandingan mereka musim luruh ini.

Pihak berkuasa Jerman juga merancang untuk memperketatkan peraturan mengenai perhimpunan yang lebih kecil dengan mengehadkan kepada 25 orang. Draf ini juga sangat mendorong penduduk untuk menjaga jarak 1.5 meter (lima kaki) dan memilih untuk mengadakan perjumpaan di luar rumah berbanding di tempat tertutup.

Walaupun Jerman telah mengatasi masalah pandemik sejauh ini, peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini mesti ditangani dengan sangat serius. – AFP

Canselor Jerman, Angela Merkel mengenakan penutup mulut dan hidung ketika beliau tiba bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk sidang media selepas pertemuan di Fort de Bregancon, di Bormes-les-Mimosas, Perancis. Canselor akan bertemu dengan 16 pemimpin negeri persekutuan Jerman hari ini untuk secara rasmi beretuju langkah-langkah panduan baharu di Jerman. – AFP