Jerman suntik AS$337 juta dalam firma vaksin

FRANKFURT AM MAIN, 15 JUN – Berlin akan mengambil saham dalam syarikat bioteknologi Jerman, CureVac, kata Menteri Ekonomi, Peter Altmaier hari ini, beberapa bulan selepas laporan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan minat terhadap firma itu dan vaksin koronavirus yang sedang dibangunkannya.

“Kami menghantar isyarat jelas bagi CureVac di sini di Jerman sebagai sebuah tempat untuk membuat perniagaan,” kata Altmaier kepada para wartawan di bandar itu.

Pelaburan 300 juta euro (AS$337 juta) kerajaan persekutuan itu akan membeli 23 peratus saham dalam CureVac, berpangkalan di Tuebingen di barat daya Jerman.

Sehingga kini, jutawan Dietmar Hopp – pengasas bersama syarikat gergasi perisian Eropah SAP – telah menjadi pelabur utama, dengan lebih 80 peratus daripada saham itu.

Teknologi CureVac, berdasarkan molekul dikenali sebagai ‘messenger RNA’ (mRNA) yang ditemui dalam badan, menawarkan ‘potensi besar vaksin untuk bukan sahaja COVID-19 malahan kebanyakan penyakit berjangkit, serta sebagai pilihan terapi untuk kebanyakan tanda-tanda penyakit lain,” Hopp memberitahu para wartawan menerusi konferensi video.

Vaksin berdasarkan mRNA ‘mempunyai potensi untuk melindungi seseorang dengan dos paling rendah’ dan tidak memerlukan untuk disejukkan, kata pemangku ketua eksekutif Franz-Werner Haas, memudahkan logistik menginokulasi sejumlah besar orang ramai.

Pada Mac, satu laporan akhbar mendakwa AS cuba untuk membeli hak eksklusif kepada penyelidikan vaksin CureVac.

Walaupun syarikat dan para pegawai AS menyangkalnya sebagai tidak berasas, laporan akhbar itu mencetuskan kemarahan di Berlin dan menyebabkan menteri Altmaier mengumumkan bahawa ‘Jerman bukan untuk dijual’. – AFP

Peter Altmaier (kiri) dan setiausaha kerajaan di Kementerian Ekonomi Ulrich Nussbaum ketika menghadiri sidang media bersama pelabur Dietmar Hopp (skrin, kiri) dan CEO CureVac, Franz-Werner Haas (skrin, kanan) di Kementerian Ekonomi di Berlin pada 15 Jun. – AFP