‘Kami semakin kuat selepas tersingkir’

LONDON, 10 OGOS – Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus berkata dia membayangkan dirinya menggenggam trofi Liga Juara-Juara dan dia serta rakan sepasukannya kini lebih kuat berbanding sebelumnya dalam kejohanan yang diimpikan oleh pemilik kelab dari Abu Dhabi.

Pemain Brazil berusia 23 tahun mempamerkan aksi memukau pada Jumaat lalu di mana mereka berjaya menewaskan juara 13 kali kejohanan, Real Madrid dengan jaringan 2-1, sekali gus melayakkan mereka untuk mara ke pusingan suku akhir. Aksi Jesus telah meredakan kebimbangan selepas penjaring gol utama, Sergio Aguero berkemungkinan akan diketepikan akibat kecederaan dalam perlawanan suku akhir pada Sabtu nanti di Lisbon. Guardiola – yang belum pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara sejak dua kejayaannya bersama Barcelona pada 2011 – dan skuadnya akan berlepas ke Portugal hari ini.

“Kami perlu memasang cita-cita,” Jesus memberitahu media Britain. “Saya seorang yang mengejar cita-cita dan saya boleh membayangkan diri saya menggenggam trofi itu di tangan saya.

“Tetapi saya tahu bahawa realitinya adalah berbeza, kami terpaksa bekerja keras, mempamerkan dedikasi kami. Memenangi perlawanan itu adalah yang paling penting.”

Jesus – yang menjaringkan gol dan mencipta peluang gol untuk Raheem Sterling dalam gol pertama perlawanan Jumaat lalu semasa pusingan 16 terakhir pusingan kedua – berkata bahawa pemain-pemain yang merasa kecewa di kejohanan utama Eropah menjadi lebih positif.

Semasa kendalian Guardiola mereka telah tersingkir di pusingan suku akhir dua tahun berturut-turut kepada musuh mereka dari Liga Perdana Inggeris iaitu Liverpool dan Tottenham Hotspur dan sebelum itu tersingkir di tangan Monaco dalam pusingan 16 terakhir.

Persembahan terbaik City setakat ini adalah mara ke pusingan separuh akhir pada 2016 semasa dibimbing oleh jurulatih terdahulu, Manuel Pellegrini. – AFP

Reaksi Gabriel Jesus meraikan gol semasa menentang Real Madrid di Liga Juara-Juara. Jesus percaya mereka kini lebih matang selepas disingkirkan dari Liga Juara-Juara sebelum ini dan membayangkan dirinya menjulang trofi tersebut. – AP