Jet Israel serang tapak Hamas

GAZA, 6 Mac – Jet pejuang Israel pada malam semalam telah menyerang sebuah kawasan tentera Hamas di Gaza selepas ‘belon berisi bahan letupan’ yang dilepaskan dari enklaf Palestin tiba di bahagian selatan Israel, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan tentera rejim itu.

“Jet pejuang dan pesawat Angkatan Pertahanan Israel telah menyerang sejumlah sasaran di kawasan tentera Hamas yang terletak di utara Semenanjung Gaza,” kata jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan.

Dia berkata serangan tersebut adalah tindak balas terhadap tindakan melepaskan belon berisi bahan letupan dari Semenanjung Gaza ke dalam wilayah Israel sebelum itu pada Selasa. Dia memberi amaran bahawa Israel menganggap Hamas, sebuah pergerakan Islam Palestin yang mentadbir Gaza, ‘bertanggungjawab atas semua perkembangan di Semenanjung Gaza dan merupakan punca ia berlaku.’

Jurucakap itu berkata pihak tentera “memandang serius sebarang percubaan untuk mendatangkan bahaya ke atas orang awam Israel dan akan terus bertindak balas dengan keras terhadap semua serangan ini.”

Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan menyebut tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam serangan udara itu dan menambah semua hospital di Semenanjung Gaza bersiap sedia untuk menerima mangsa yang cedera atau terkorban jika serangan udara tersebut berlanjutan. Insiden serupa berlaku pada Isnin dan Ahad, yang menyaksikan tentera rejim menyerang pos kawalan Hamas selepas belon berisi helium dengan peledak atau bahan pembakar dilepaskan ke bahagian selatan Israel.

Sejak beberapa bulan lepas, penduduk Palestin sering melepaskan belon berisi bahan letupan susulan tunjuk perasaan dan pertempuran yang berlaku di sepanjang pagar antara Gaza dan Israel. – Bernama