Jet pejuang AS cetus reaksi hebat Korea U

SEOUL, 11 JULAI – Korea Utara berkata hari ini penerimaan jet pejuang Amerika Syarikat (AS) baharu oleh Korea Selatan adalah satu ‘tindakan amat berbahaya’ yang akan memaksanya menggunakan ‘persenjataan khas’ untuk menembak jatuh mereka.

Korea Selatan, sekutu utama AS, menerima dua jet F-35A pertamanya, salah satu pesawat udara tentera paling moden di dunia, pada Mac di bawah kontrak berjumlah AS$7 bilion yang ditandatangani pada 2014.

Negara itu merancang menghantar 40 jet Amerika pada akhir tahun 2021, dengan kira-kira satu perempat di antaranya dijangka beroperasi pada tahun ini.

Pihak berkuasa Korea Selatan ‘tahu bahawa membawa masuk jet pejuang terbukti satu tindakan amat berbahaya yang akan mencetuskan reaksi kami,” kata seorang penyelidik tanpa nama di Institut Kajian Amerika Kementerian Hal Ehwal Luar Korea Utara dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita KCNA.

“Kami tidak mempunyai pilihan melainkan memajukan dan menguji persenjataan khas untuk memusnahkan senjata yang diperkukuh di Korea Selatan,” katanya.

Kenyataan itu berkata dua F-35A tambahan dijangka diserah kepada Korea Selatan dari AS pada pertengahan Julai.

Kementerian pertahanan Seoul enggan memberi komen sama ada kenyataan tersebut adalah benar. – AFP