Jet Rusia ceroboh ruang udara Korea Selatan

SEOUL, 23 JULAI – Jet pejuang Korea Selatan menembak hampir 400 tembakan amaran pada pesawat udara tentera Rusia hari ini setelah ia menceroboh ruang udara negara, dengan Seoul mengingatkan reaksi yang lebih keras jika pencerobohan berlaku lagi.

Pesawat A-50 Rusia menceroboh ruang udara Korea Selatan sebanyak dua kali di luar pantai timurnya, kata pegawai kementerian pertahanan, memaksa tentera udara melancarkan jet pejuang.

Moscow menafikan pesawat udara tenteranya telah menceroboh ruang udara Korea Selatan, berkata kapal terbangnya menjalankan latihan di perairan antarabangsa.

Namun Seoul berkata sebuah kapal terbang perang memasuki ruang udara Korea Selatan berhampiran pulau Dokdo, yang juga dituntut oleh Jepun, pencabulan pertama sedemikian sejak Perang Korea yang berakhir pada 1953.

Penasihat Keselamatan Negara Chung Eui-yong mengingatkan tentang kesan serius jika pencabulan sedemikian berlaku sekali lagi dalam satu pesanan kepada setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, kata jurucakap Rumah Biru Korea Selatan.

“Kami menilai kejadian ini dengan serius dan akan mengambil langkah lebih keras jika ia berlaku lagi,” kata Chung, menurut jurucakap Rumah Biru.

Beliau menambah lebih banyak siasatan perlu dijalankan untuk menentukan motif pencerobohan. – AP