Jet tentera beri penghormatan pekerja barisan hadapan

WASHINGTON, 3 MEI – Jet-jet tentera terbang di atas bandar-bandar Amerika Syarikat (AS) kelmarin untuk memberi penghormatan kepada pekerja-pekerja barisan hadapan di negara tersebut yang mencatatkan angka kes kematian dan jangkitan tertinggi di dunia.

Penduduk di ibu kota Washington, Baltimore dan Atlanta telah diperlihatkan pemandangan yang menakjubkan daripada Blue Angel milik tentera laut dan Thunderbird milik tentera udara. Kebanyakan yang hadir kelihatan mematuhi peraturan penjarakan sosial dan ramai daripada mereka memakai penutup hidung dan mulut.

“Sangat berbangga untuk menyaksikan penghormatan #AmericaStrong bagi pekerja-pekerja kesihatan dan pekerja barisan hadapan dengan pertunjukan udara yang menarik hari ini di Washington, D.C. Terima kasih kepada @AFTunderbirds dan @BlueAngles atau persembahan perpaduan yang cantik,” tweet Melania Trump termasuk foto dirinya menyaksikan persembahan udara dari luar Rumah Putih. Thunderbirds memberi penghormatan kepada pekerja kesihatan dan barisan hadapan untuk melawan koronavirus, yang telah menjangkiti seramai 1.1 juta orang di AS dan membunuh lebih dari 66,000 orang. – AFP

Pertunjukan dari Blue Angel dan Thunderbirds di ruang udara Atlanta untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan perubatan dan barisan hadapan dalam memerangi wabak koronavirus. – AP