TEHRAN, 21 FEB – Sebuah jet pejuang F-5 terhempas ke kawasan sekolah di bandar barat laut Tabriz hari ini, membunuh dua kru dan orang awam, kata pihak berkuasa.
“Nasib baik sekolah itu ditutup kerana pandemik COVID-19,” kata pegawai tempatan, Mohammad-Bagher Honarvar kepada televisyen tempatan.
Pesawat udara itu dalam misi latihan ketika ia terhempas sekitar jam 9 pagi di tengah daerah bandar Monajem, kata Honavar, yang mengetuai unit pengurusan krisis di wilayah Timur Azerbaijan.
Ketua organisasi Bulan Sabit Merah tempatan berkata pesawat itu terhempas ke tembok luar dengan salah seorang mangsa korban adalah penduduk berdekatan.
Kebakaran meletus di lokasi kejadian dengan bomba dilihat memadam api tersebut ketika khalayak ramai menyaksikannya, dalam rakaman video daripada agensi berita rasmi IRNA.
Sisa pesawat boleh dilihat di tengah-tengah runtuhan permukaan bangunan sekolah yang rentung.
Pesawat itu ditugaskan di pangkalan udara Shahid Fakouri di Tabriz, kata komander pangkalan, Jeneral Reza Youssefi kepada penyiaran, menambah bahawa ia menuju pulang dari misi latihan semasa ia mengalami masalah teknikal yang menghalangnya daripada mendarat.
Pasukan udara Iran mempunyai 300 pesawat perang, kebanyakannya MiG-29 dan jet pejuang Sukhoi-25 buatan Rusia, yang dibina pada era Soviet, serta F-7 dari China dan Mirage F1 dari Perancis.
Armada itu juga termasuk beberapa jet F-4 dan F-5 buatan Amerika yang diperolehi semasa rejim shah disokong Barat, yang disingkirkan pada revolusi Islam 1979.
Pakar berkata hanya beberapa pesawat itu yang masih beroperasi.
Pada Ogos 2006, Iran mengumumkan ia telah membangunkan pesawat perang baharu dinamakan ‘Azarakhsh’ (petir) yang digambarkannya serupa F-5 dan setahun kemudian ia mendedahkan ‘Saegheh’ (guntur), yang dikatakan sama seperti F-18 Amerika.
Kemalangan jet hari ini itu adalah yang pertama melibatkan pesawat tentera dilaporkan oleh Iran sejak Disember 2019. – AFP