Jeti pantai Blackpool terbakar

LONDON, 17 JULAI – Anggota bomba berjaya memadamkan satu kebakaran semalaman di salah sebuah jeti di tempat peranginan tepi pantai England, Blackpool.

Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lancashire berkata 10 kereta bomba digunakan untuk mengawal api selepas mereka dipanggil pada pukul 3 pagi hari ini.

Kebakaran membabitkan sebuah bengkel dan separuh daripada jeti. Kerosakan kedua-dua struktur sedang dinilai. Tidak ada kecederaan dilaporkan.

Komander kejadian, Mark Winder memberitahu Radio BBC Lancashire bahawa anggota bomba tidak menghadapi masalah besar dalam memadamkan kebakaran.

Beliau berkata kelajuan angin adalah sederhana dan tidak adanya arus, ‘maka kami berjaya memadamkan api dari pantai.’

Satu siasatan telah dilancarkan dan anggota bomba masih bersedia untuk mengawasi sebarang situasi berisiko.

Blackpool banyak bergantung pada pelancongan, maka kebakaran memberi tamparan hebat beberapa minggu selepas sekatan koronavirus dilonggarkan ke atas sektor itu.

Tiga jeti, dengan tarikan hiburan, pertunjukan dan pusat membeli-belah, memainkan peranan penting dalam pelancongan bandar. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lancashire menunjukkan kebakaran di jeti Blackpool pagi kelmarin. – AP