Jetstar Asia sedia penerbangan sementara mulai 21 April

SINGAPURA, 20 APRIL – Jetstar Asia yang berpangkalan di Singapura akan menyediakan penerbangan pergi-balik lima kali seminggu ke tiga destinasi di Asia Tenggara – Kuala Lumpur, Bangkok dan Manila – dengan tujuan untuk mewujudkan rangkaian perjalanan penting dan membantu penghantaran barang di rantau ini mulai 21 April.

Syarikat penerbangan itu berkata  sebanyak 112 tempat duduk maksimum tersedia pada setiap penerbangan, kira-kira 60 peratus daripada kapasitinya untuk penjarakan yang selamat pada sepanjang tempoh langkah pemutus litar oleh kerajaan Singapura.

“Perkhidmatan ini hanya tersedia untuk warganegara dan penduduk tetap yang pulang ke rumah, atau mereka yang mempunyai kebenaran bertulis untuk melakukan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Pelanggan boleh membuat tempahan di www.jetstar.com atau melalui ejen pelancongan dan rakan niaganya. – Bernama