JF Tech ejen ISC di China, Malaysia dan ASEAN

KUALA LUMPUR, 11 OGOS – Penyedia penyelesaian antara muka ujian, JF Technology Bhd (JF Tech) dilantik sebagai ejen jualan dan pengedaran poduk penyelesaian sentuh ujian ISC Co Ltd (ISC) yang berpangkalan di Korea Selatan di China, Malaysia dan ASEAN.

JF Tech dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pelantikan itu adalah susulan daripada perjanjian agensi berasingan yang dimeterai antara anak syarikatnya, JFH Technology (Kunshan) Co Ltd (JFH Technology) dengan JF Microtechnology Sdn Bhd (JFM) dan ISC.

Syarikat Korea Selatan itu merupakan satu daripada penyedia penyelesaian ujian utama dunia dan peneraju produk soket getah silikon dan soket spring probe.  

Ia juga mengeluarkan jenis soket ujian lain seperti soket burn-in, probe cards dan connectors yang digunakan dalam pengujian litar bersepadu bagi pelbagai kegunaan. – Bernama