JFA batal penganjuran Piala Dunia Kelab

TOKYO, 8 SEPT – Jepun tidak akan menganjurkan Piala Dunia Kelab FIFA hujung tahun ini disebabkan oleh sekatan virus yang mungkin mengehadkan jumlah penonton, menurut laporan dikeluarkan hari ini.

Kejohanan bola sepak tahunan tersebut, yang mana juara dari enam konfederasi global bersaing bersama dengan pasukan juara negara penganjur, sepatutnya diadakan pada bulan Disember.

Akan tetapi Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) memutuskan untuk membatalkan rancangan untuk menganjurkan perlawanan tersebut, menurut agensi berita Kyodo.

“Risiko peningkatan jangkitan dan kesukaran untuk mendapatkan keuntungan disebabkan jumlah penonton yang dihadkan menyebabkan keputusan ini dibuat,” menurut Kyodo, memetik sumber tidak rasmi.

JFA sedang dalam perbincangan bersama FIFA, yang menunda kejohanan Piala Dunia Kelab ke awal tahun hadapan, menurut laporan.

“Butiran Piala Dunia Kelab FIFA seterusnya akan disahkan dalam masa terdekat,” beritahu jurucakap FIFA kepada AFP.

Piala Dunia Kelab kali terakhir diadakan di Jepun pada 2016 dan JFA merancang untuk menganjurkan edisi 2021 sebagai sebahagian daripada ulang tahun penubuhannya ke-100, menurut Kyodo. Kejohanan yang kebiasaannya dilangsungkan pada bulan Disember, namun piala 2020 Qatar ditunda kepada Februari 2021 kerana pandemik, dengan Bayern Munich muncul sebagai juara. – AFP

Gambar fail pasukan Bayern Munich menjulang trofi Piala Dunia Kelab tahun lalu ketika menentang Tigres. JFA memaklumkan bahawa Jepun tidak akan menganjurkan kejohanan tersebut tahun ini. – Agensi