Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    JGIS sebar pengetahuan mengenai monyet

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 9 MAC – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membantu menyebarkan maklumat tentang pengetahuan dan kepakaran dalam mengurus dan mencipta persekitaran yang selamat di mana manusia dan monyet boleh bersama-sama hidup di alam semula jadi, pakar Monkey Guard dari Institut Jade Goodall Singapura (JGIS) telah meneruskan ceramah mereka di beberapa lokasi.

    Acara tersebut dianjurkan oleh Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd dan Sekolah Panaga yang bermula pada malam 7 Mac, di mana ahli-ahli dari JGIS dapat berinteraksi dengan penduduk dan masyarakat Panaga yang diadakan di dewan Kelab Panaga.

    Ia diteruskan dengan perbincangan serta perkongsian pengalaman penduduk yang melibatkan monyet, yang juga memberikan peluang kepada pakar Monkey Guard untuk menjelaskan dan memperbetulkan salah faham yang mungkin ada.

    Sementara itu, satu lagi ceramah penglibatan masyarakat telah diadakan pada petang 8 Mac di Bilik Teater Makmal Tenaga Seria (SEL) dan menyaksikan beberapa wakil dari pelbagai jabatan tempatan dan agensi penguatkuasaan hadir bagi mempelajari lebih lanjut tentang inisiatif baharu Monkey Guard.

    Ini termasuk Pejabat Daerah Belait, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), British Forces Brunei di Medicina Lines, kluster enam sekolah, serta Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria.

    Turut hadir ketua-ketua kampung dan orang awam yang sangat berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai topik-topik yang dibincangkan.

    Selain berkongsi pengetahuan mengenai Monkey Guard, wakil dari agensi-agensi tempatan yang dijemput juga dapat mengolah dan membincangkan pelan masa depan bagi membantu menyokong usaha mencipta sempadan sihat antara manusia dan monyet untuk memastikan kedua-duanya boleh bersama-sama hidup di dalam persekitaran yang sama.

    Orang ramai semasa mengikuti perkongsian yang disampaikan oleh pakar Monkey Guard dari JGIS.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...