JHEM terima sumbangan pelitup muka, sanitasi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sempena pembukaan masjid-masjid, balai-balai ibadat dan surau mulai Jumaat ini, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menerima sumbangan barangan keperluan untuk membendung penularan koronavirus.

Sumbangan berupa 350 keping pelitup muka dan 240 botol pensanitasi tangan telah diterima jabatan tersebut daripada Syarikat Wisa Enterprise hari ini yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Hajah Juliana binti Haji Nawi kepada Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Penyerahan sumbangan turut disaksikan oleh Pengurus Eksekutif Syarikat Wisa, Dayang Suzana binti Haji Nawi dan para pegawai serta kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Semoga dengan adanya usaha seumpama itu dan kerjasama semua pihak, wabak COVID-19 akan dapat ditangani dan semua rakyat Brunei dilindungi daripada virus itu.

Haji Asminan menerima sumbangan keperluan untuk membendung penularan koronavirus bagi masjid daripada Syarikat Wisa Enterprise.