Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama terus menerima sumbangan barangan keperluan kebersihan bagi mencegah penularan COVID-19 di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Antara yang menghulurkan sumbangan pada majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat JHEM, Sumbiling, hari ini, ialah YMRM Enterprise yang menyumbangkan 50 termometer dan disampaikan oleh Pengarah Urusan YMRM Enterprise, Hitesh Ramesh Bhawnani.
Manakala itu, sebanyak 30 botol Clorox, 100 botol pencuci tangan dan 80 botol pensanitasi tangan telah disumbangkan ahli keluarga Yuza dan 40 botol pensanitasi tangan lagi disumbangkan oleh Syarikat Kensington bn.
Sumbangan derma tersebut telah diterima oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan tersebut ialah pegawai dan kakitangan JHEM.
Semoga dengan adanya usaha seumpamanya dan kerjasama serta keprihatinan dari semua pihak, wabak COVID-19 ini akan dapat ditangani dengan segera dan berdoa agar Allah mengurniakan kesembuhan kepada pesakit dan melindungi semua sekali gus terhapus wabak dahsyat tersebut dari bumi ini.





























