Jho Low diburu, berada di Macau

KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Ahli perniagaan yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dikesan bersembunyi di Macau, China, kata polis Malaysia hari ini.

Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low, dituduh menjadi dalang di sebalik kecurian bilion ringgit dari dana kerajaan 1MDB.

Wang tersebut digunakan untuk membeli barangan mewah dari kapal layar hingga karya seni dalam kes penipuan yang dipercayai melibatkan bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Malaysia, Abdul Hamid Bador mengatakan Low kini berada di hab kasino Macau, China namun spekulasi tentang keberadaannya telah menyatakan dia berada di beberapa buah negara dari Emiriah Arab Bersatu hingga ke tanah besar China.

“Pada masa ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha sebaik mungkin untuk menjejaki dan membawanya ke muka pengadilan.

“Seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini bahawa pihak polis tidak pernah berputus asa dan tidak berniat melengah-lengahkan pemburuan Jho Low bagi membawanya kembali ke Malaysia dan dia sudah merompak wang negara dan kami akan terus memburunya,” kata Abdul Hamid. – AFP/Agensi