JI rancang lancar serangan

JAKARTA, 20 OGOS – Kumpulan pelampau yang merupakan dalang pengeboman di Bali merancang untuk melancarkan serangan baharu semasa Hari Kemerdekaan Indonesia minggu ini, menurut kenyataan polis hari ini, memetik anggota pelampau berjaya ditahan dalam serbuan dengan menangkap puluhan suspek.

Skuad anti pengganas Indonesia menahan seramai 53 suspek pelampau di hampir puluhan wilayah di seluruh negara dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan, menurut pihak berkuasa.

Sebilangan suspek mengaku bahawa kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), kumpulan pelampau yang bertanggungjawab atas pengeboman di Bali pada 2002, merancang melakukan serangan semasa cuti Hari Kemerdekaan negara tersebut pada awal minggu ini, menurut kenyataan.

“JI merancang serangan pada Hari Kemerdekaan, menurut beberapa orang suspek,” kata jurucakap polis kebangsaan, Argo Yuwono memberitahu wartawan di Jakarta hari ini.

Yuwono tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut namun polis berkata mereka berjaya merampas senjata dan peluru daripada suspek, yang pada awalnya ditahan atas dakwaan mempunyai kaitan menghulurkan sumbangan kepada kumpulan tersebut.

JI hampir dihapuskan oleh pihak berkuasa selepas pengeboman pada hari cuti di pulau berkenaan hampir dua dekad lalu, membunuh lebih 200 orang termasuk pelancong.

Tetapi kumpulan tersebut berjaya bangkit dan pemimpinnya, Abu Bakar Bashir dilepaskan dari tahanan tahun ini selepas menamatkan tempoh hukuman atas dakwaan berkaitan keganasan.

“Operasi ini bertujuan untuk menghapuskan dan melemahkan JI,” beritahu pegawai anti pengganas yang namanya dirahsiakan kepada AFP. – AFP