Pengacara, Jihan Muse bersyukur dirinya masih relevan apabila saban tahun disenaraikan sebagai calon pada edisi ke-33, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).
Calon kategori Artis Komedi Popular dan Pengacara TV Popular itu tetap teruja biarpun belum dapat menggenggam trofi ABPBH sejak kali pertama dicalonkan, beberapa tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya gembira kerana masih diterima dan relevan dalam industri seni.
“Terima kasih selalu senaraikan nama saya dalam pencalonan awal. Walaupun tidak pernah menang, namun, saya sangat hargai.
“Tentunya saya terhutang budi dengan peminat yang mengundi saya untuk ABPBH 33 dan edisi yang lalu,” katanya kepada media.
Bertanya tip mengekalkan dirinya relevan biarpun sudah lebih sedekad dalam industri seni, naib juara musik ketiga program realiti Raja Lawak ini memberitahu, setiap kerja atau tugasan yang diberi perlu dilakukan dengan baik.
“Saya tiada tip dalam soal ini. Namun, kuncinya, setiap tugasan yang diberi, kita kena buat dengan ikhlas dan sepenuh jiwa. Apabila kita beri 100 peratus usaha, orang akan nampak hasil itu, menghargainya dan suka. Disebabkan itulah kita diterima dan terus relevan,” katanya yang turut dikenali sebagai Ratu Parodi.
Jihan mengaku biarpun ada pelapis atau bakat baharu terutama dalam bidang pengacaraan, dia tak pernah menganggap dirinya bersaing dengan mereka.
“Secara jujur, saya tidak rasa bersaing dengan bakat muda. Saya tidak pernah fikir soal persaingan sebab hanya buat kerja saya.
“Apabila kita fokus dengan kerja, Insya Allah, kita tidak akan rasa seperti berlumba,” katanya. – Agensi