Jihan perbaiki diri berikutan PKP

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pengacara popular, Jihan Muse seronok meluangkan setiap minit bersama keluarga tercinta.

Dalam masa yang sama, pengacara popular ini dapat memperbaiki diri sebagai isteri, ibu dan hambaNya dalam tempoh berkurung. Dia memberitahu, sebelum ini, dia sibuk bekerja sehingga kurang masa menguruskan rumah tangga. Oleh itu, tidak menjadi hairan, PKP dianggap hikmah besar buat dirinya.

“Alhamdulillah saya seronok duduk di rumah sepanjang PKP. Sebelum ini, saya sibuk bekerja.

“Dahulu, saya mahu banyak masa di rumah tapi tidak dapat disebabkan komitmen kerja. Jadi, apabila perkara ini terjadi, saya nampak hikmahnya.

“PKP memberi saya lebih masa untuk saya berlatih dan memperbaiki diri menjadi isteri, ibu dan wanita,” katanya kepada media.

Berikutan arahan PKP, dianggap hikmah besar buat Jihan kerana dapat meluangkan setiap minit bersama keluarga tercinta dan memperbaiki dirinya. – Agensi

Menetap di rumah ibu sepanjang PKP, Jihan memasak untuk keluarga dan adik-beradik.

“Saya perlu memasak dalam jumlah yang banyak. Selalunya, saya masak untuk suami dan anak sahaja. Kali ini, seronok sebab saya dapat teroka banyak benda baharu,” katanya.

Paling mengujakan, Jihan dapat melihat anak, Ungku Arsalan Haq membesar di depan mata.

“Saya gembira dapat memberi perhatian kepadanya. Sebelum ini, saya tak pernah buat jadual.

“Tapi sekarang saya sediakan jadual dan aktiviti untuknya. Pada masa sama, saya dapat menjadi cikgu,” katanya.

Malah, Jihan mengaku bersyukur mempunyai banyak masa untuk mengaji Al-Quran dan mendalami ilmu agama.

“Dahulu, saya susah hendak cari masa. Sekarang setiap hari saya dapat membaca Al-Quran. Mungkin bagi suri rumah, perkara ini normal. – Agensi