Jijoe tepis stigma karier musnah selepas berkahwin

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan me-reka yang meramalkan kariernya akan hancur, mempunyai perut buncit dan lutut longgar apabila menamatkan zaman bujangnya pada usia 22 tahun, adalah tidak benar.

Sebaliknya, pemenang pingat perak Tokyo 2020 yang membina mahligai perkahwinan bersama Datin  Athiah Ilyana Abd Samat, 35, pada 2010 bersyukur apabila kariernya masih bertahan dan terus mengecap pelbagai kejayaan sehingga hari ini.

“Pepatah ‘di belakang kejayaan se-seorang lelaki itu ada seorang perempuan yang hebat’ adalah benar sama sekali. Saya buktikan itu (stigma) semua dusta, syukur alhamdulillah sampai ke hari ini masih perkasa. 

“Orang hanya lihat kejayaan saya adalah hasil daripada kerja keras latihan dan sebagainya tetapi sebenarnya sokongan jitu daripada isteri dan keluarga adalah melangkaui segala-galanya,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook dan Instagram hari ini.

Hasil perkahwinan Azizulhasni, 33, dan Athiah Ilyana itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Amna Maryam, 8, dan Amna Khadeeja, 5. Isterinya sedang mengandung anak ketiga mereka.

Azizulhasni Awang membuktikan mereka yang meramalkan kariernya akan hancur, mempunyai perut buncit dan lutut longgar apabila menamatkan zaman bujangnya adalah tidak benar apabila kariernya masih bertahan dan terus mengecap pelbagai kejayaan sehingga hari ini. – Bernama
Aksi Azizulhasni semasa berlumba di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. – Bernama

Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu turut mengambil kesempatan memberi penghargaan kepada kedua ibu bapanya iaitu Selamiah Yong dan Awang Embong.

Katanya, ibunya dengan rela hati terpaksa melepaskan beliau berhijrah ke Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun demi mengejar cita-cita menjadi atlet negara dan situasi itu menyebabkannya amat jarang berjumpa apatah lagi meluangkan masa bersama keluarga seperti orang lain.

“Tetapi dalam keadaan begitupun, Ma (ibu) masih sentiasa memberikan sokongan, menyuruh saya supaya sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan mengejar impian peribadi dan misi negara,” katanya.

Sementara itu, Azizulhasni yang mesra disapa ‘Jijoe’ menyatakan semangat bapanya yang merupakan pesakit demensia dan pernah diserang strok sebelum ini, sentiasa bersama dalam dirinya walaupun jarang dapat bersua.

Juara keirin dunia 2017 itu berkata hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaannya sebaik mendapat perkhabaran bapanya dimasukkan ke hospital akibat strok beberapa hari sebelum ke Jepun. Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada adik-beradiknya di Terengganu yang menjaga bapanya dengan rapi sete-rusnya mereka memintanya memberi tumpuan penuh menggalas cabaran negara di Velodrome Izu.

Pada aksi final keirin lelaki Ahad lepas, penyandang juara Jason Kenny dari Great Britain mengesahkan pingat emas untuk mengekalkan gelarannya manakala Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak dan gangsa pula milik pelumba Belanda, Harrie Lavreysen. – Bernama