Jika diikat jamin, Ghosn tetap di Jepun

TOKYO, 21 Jan – Carlos Ghosn sedang menunggu nasibnya ketika mahkamah Tokyo bersiap sedia untuk mendengar permintaan ikat jamin Ghosn selepas bekas ketua Nissan itu berikrar untuk tetap berada di Jepun jika ia dilepaskan dengan ikat jamin dan bersedia menyediakan lebih banyak cagaran.

Taikun automobil itu telah memohon ikat jamin selepas dalam tahanan selama 64 hari ketika dia sedang bergelut untuk menepis tuduhan atas dakwaan salah laku kewangan yang berkali-kali dinafikannya. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal hari ini, beliau berusaha mengubah keputusan penghakiman sebelumnya bahawa dia berisiko untuk ke luar negara dan mungkin cuba untuk memusnahkan segala bukti-bukti.

“Memandangkan mahkamah mempertimbangkan permohonan jaminan saya, saya ingin menekankan bahawa saya akan tetap berada di Jepun dan menghormati mana-mana dan semua syarat ikat jamin yang pihak mahkamah putuskan,” kata Ghosn dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh wakilnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Ghosn bersumpah untuk menghadiri mana-mana perbicaraan berikutnya ‘bukan hanya kerana beliau diwajibkan secara sah untuk berbuat demikian, tetapi kerana beliau bersemangat kerana akhirnya mempunyai peluang untuk membela dirinya’.

“Saya tidak bersalah terhadap tuduhan yang didakwa ke atas saya dan berharap untuk membela reputasi saya di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Mahkamah telah menolak percubaan sebelumnya untuk mendapatkan kebebasannya dengan ikat jamin.

Jurucakap Ghosn, Devon Spurgeon, berkata keluarganya telah menyewa sebuah apartmen di Tokyo di mana dia berjanji untuk tinggal sementara menunggu perbicaraan. – AFP

Gambar fail pada 20 November 2013 menunjukkan Ghosn berucap semasa sidang media di petak Nissan semasa Pameran Permotoran Tokyo di Jepun. – AFP