Jika positif kit ujian ART, jalani ujian di pusat swab

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Sejak kit ujian ART (Antigen Rapid Test) mula dijual di negara ini, ramai yang mengambil peluang untuk membuat saringan bagi memastikan mereka bebas COVID-19.

Dalam keterujaan menggunakan kit ujian berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengingatkan bahawa kit ujian tersebut digunakan hanya sebagai ujian saringan saja.

Beliau seterusnya mengingatkan, jika keputusan ujian saringan menggunakan kit ujian berkenaan didapati positif, mereka hendaklah terus membuat ujian di pusat swab untuk mendapatkan swab yang betul.

“Pihak kementerian juga mendapati, mereka yang membuat ujian saringan menggunakan kit ujian ini telah didapati positif setelah ujian swab yang betul dibuat,” jelas beliau lagi semasa sidang media di Dewan Al-Afiah kementerian berkenaan hari ini.

Menyentuh mengenai pengendalian pembuangan kit ujian ART yang telah digunakan di kediaman masing-masing, Yang Berhormat Dato menyarankan supaya ia dibuang dalam satu bekas atau bungkusan khas dan diasingkan kerana antigen berkenaan masih boleh dijangkiti.

Manakala itu, bagi syarikat-syarikat yang membuat saringan dalam jumlah yang banyak juga diingatkan untuk membuang di tempat pembuangan barangan klinikal.