Jim Lentz bakal bersara

DETROIT 12 DIS – Jim Lentz merupakan wakil Toyota yang memimpin pembuat kereta itu keluar daripada era kemelesetan besar ketika krisis Amerika Syarikat (AS), memulakan dan menutup jenama Scion dan menyusun semula operasi di Amerika Utara.

Kini, selepas 38 tahun menjadi ketua syarikat tersebut, Jim Lentz telah memberikan kata putus untuk bersara berkuat kuasa pada 1 April nanti.

Lentz, 64, akan mengundurkan diri pada bulan April sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor Amerika Utara, dan akan digantikan oleh Tetsuo ‘Ted’ Ogawa, yang kini menjadi Ketua Pegawai Operasi, kata Toyota kelmarin.

Lentz amat terkenal atas keterangannya pada Februari 2010 di depan jawatankuasa kongres yang menyiasat aduan mengenai kenderaan Toyota memecut tanpa amaran. Lentz berkata penarikan semula 8.5 juta kenderaan Toyota di seluruh dunia dan lebih enam juta di Amerika Syarikat mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah.

Beliau berkata pada ketika itu punca elektronik tidak dapat diketepikan, walaupun Toyota dan agensi kerajaan AS telah membuat keputusan yang kontroversi mengatakan permasalahan tersebut berpunca daripada pedal gas yang melekit dan lapik lantai yang menekan pada pemecut, dan bukannya elektronik. Toyota dikenakan denda sebanyak AS$50 juta kerana lewat melaporkan masalah keselamatan kepada pengawal selia AS.

Lentz, dalam temu bual bersama The Associated Press, berkata tempoh di antara krisis kewangan global pada tahun 2008 dan 2009, krisis pecutan yang tidak dijangka serta gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada tahun 2011 merupakan tempoh yang paling sukar dalam kerjayanya. – AFP

Gambar fail pada 30 Oktober 2017 menunjukkan Jim Lentz ketika memberikan ucapan pada upacara dedikasi untuk pusat kejuruteraan pengeluaran dan pembuatan baharu di Georgetown. – AP