Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Jimat berbelanja dengan PenggunaBijak

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi menyarankan orang ramai untuk menjadi pengguna bijak dengan memuat turun aplikasi mudah alih PenggunaBijak yang menyediakan maklumat mengenai perbandingan harga.

    JPES turut menyatakan pengguna mempunyai hak untuk membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan berbelanja di gedung atau kedai runcit.

    Ini kerana, isu kenaikan harga sering ditimbulkan oleh penduduk negara ini sehingga pihak JPES turut menerima aduan orang ramai mengenai perbezaan harga bagi barangan sama di pasaran.

    Sejak Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011 dikuatkuasakan pada Januari 2012, JPES telah menerima lebih 1,000 aduan pengguna. Walau bagaimanapun, tidak semua aduan pengguna berkenaan termasuk di dalam skop perundangan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011.

    Aduan mengenai harga yang berbeza-beza bagi barangan yang sama tidak terkandung di bawah skop perintah berkenaan.

    Orang ramai disaran menggunakan aplikasi PenggunaBijak bagi mendapatkan maklumat perbandingan harga.

    Perintah itu meliputi isu seperti membuat kenyataan palsu terhadap keberkesanan atau
    manfaat daripada penggunaan sesuatu produk dan memperdayakan atau mengelirukan pengguna.

    Perbezaan harga di antara gedung, pasar raya yang berukuran besar dan kedai-kedai runcit berukuran sederhana dan kecil adalah didorong oleh banyak faktor berkaitan dengan
    kos operasi perniagaan dan kuasa pasaran.

    Para peniaga biasanya merancang strategi perniagaan masing-masing dengan mengambil kira kos-kos operasi yang perlu ditanggung oleh perniagaan masing-masing yang akan berbeza di antara pasar raya atau gedung perniagaan di kawasan komersil bandar dan kedai-kedai runcit di luar bandar.

    Antara faktor yang mempengaruhi harga adalah seperti kos struktur dan operasi perniagaan yang berlainan seperti sewa premis perniagaan, gaji pekerja, utiliti, kos pengangkutan dan sebagainya.

    Selain itu, harga daripada pihak pembekal atau pengimport – harga barangan adalah tertakluk kepada bagaimana barangan tersebut dibeli sama ada terus melalui pembekal atau melalui orang tengah yang mana kos sampingan atau tambahan akan dikenakan dan akan meningkat setelah ianya dijual kepada pembeli atau pengguna.

    Secara amnya, gedung-gedung dan pasar raya-pasar raya bersaiz besar mempunyai kelebihan dari segi kos disebabkan oleh kapasiti bagi membuat pembelian secara terus daripada pembekal.

    Sementara itu, faktor lain adalah seperti economies of scale – gedung-gedung dan pasar raya-pasar raya bersaiz besar dan mempunyai pelbagai barangan yang dijual mempunyai kelebihan economies of scale yang membolehkan kos setiap unit barangan yang lebih rendah mengambil kira faktor kuantiti penjualan yang lebih banyak berbanding perniagaan bersaiz kecil dan strategi pemasaran yang berlainan di antara kedai-kedai untuk menarik pelanggan dengan memberi diskaun kepada barangan yang tertentu.

    Jika dilihat kepada peningkatan jumlah pasar raya atau premis perniagaan, gedung perniagaan dan kedai-kedai runcit yang tumbuh seperti cendawan di seluruh negara dan menjual pelbagai jenama bagi jenis barangan yang sama adalah merupakan satu perkembangan yang positif dan dapat mendorong kepada persekitaran perniagaan yang kompetitif.

    Oleh itu, perbezaan harga antara premis perniagaan tersebut adalah satu perkara yang wajar dan lazim disebabkan oleh faktor seperti struktur kos perniagaan yang berbeza.

    Dalam hal ini, orang ramai dapat meraih kemanfaatan daripada kepelbagaian pilihan jenama terdapat di pasaran dan pilihan tempat untuk berbelanja yang menawarkan harga yang lebih berpatutan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...