Jimat dan kenali pelancongan di negara sendiri

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR – Penulis menceritakan tentang perbualan santainya dengan dua orang sahabatnya baru-baru ini, di mana penulis secara spontan melontarkan soalan sama ada mereka sudah habis pusing cuti-cuti satu Malaysia.

Seorang daripada rakan beliau, Fina, 37, memang suka melancong dan setentunya penulis menyangkakan sahabat beliau tersebut akan berkata “Ya.” Namun jangkaan penulis adalah salah.

Menurut penulis, terdapat dua buah negeri yang Fina belum pernah kunjungi. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu belum lagi sampai ke Johor dan Sarawak.

Penulis tidak mempercayai pengakuan jujur Fina tersebut. Beliau sudah mengenali sahabat beliau yang bekerja sebagai penjawat awam selama 10 tahun dan agak mustahil kalau sahabatnya itu belum pernah langsung menjejakkan kaki ke dua buah negeri itu.

“Aku lebih suka bercuti di luar negara kerana inginkan pengalaman berbeza dan pelajari budaya mereka. Dah lebih 10 negara aku pergi antara-nya Indonesia, Turki, Greece dan UK. Sebenarnya tahun ini aku merancang nak ke Korea Selatan pada bulan ini.

Gambar bertarikh 18 Februari 2020,memperlihatkan pengunjung memberi makan kepada ikan ketika melakukan aktiviti skuba di Pulau Payar, Kedah. – Bernama
Puncak Maragang Hill merupakan satu-satunya laluan denai yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu pada ketinggian 2,232 meter dari aras laut. – Agensi
Gambar bertarikh 17 Februari 2020, menunjukkan Jeti Chew di Pengkalan Weld merupakan salah satu perkampungan jeti yang terkenal di kawasan George Town, Pulau Pinang dan patut dilawati oleh para pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. – Bernama

“Rancang nak sambut birthday di sana tapi Kementerian Kesihatan pula nasihatkan supaya tangguh perjalanan ke sana kalau tidak mendesak disebabkan wabak COVID-19 di sana sangat membimbangkan. Nasib baik tak beli tiket lagi,” jelas Fina.

Penulis berpendapat bahawa halangan yang terjadi sebenarnya ada hikmah yang tersembunyi untuk sahabatnya bercuti di Malaysia sahaja, untuk lebih berjimat apatah lagi dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu. Penulis menambah, berkemungkinan sahabatnya ini berpeluang melawat ke Johor dan Sarawak ‘Bumi Kenyalang’.

Penulis merasa yakin bukan hanya sahabatnya Fina tetapi ramai lagi masih belum berkesempatan menjejaki kesemua negeri yang ada di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Kalau pun ada yang berkata sudah, namun beliau percaya bukan meliputi semua tempat.

Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai keunikan tersendiri, daripada segi budaya serta tradisi dan destinasi percutian serta kehidupan masyarakat setempat.

Penulis mengongsikan beliau sendiri sudah menjejaki hampir kesemua negeri di Malaysia kecuali Labuan. Namun bukan semua tempat, daerah dan kampung.

Contohnya, Sabah. Cuma bandar serta lokasi percutian popular di Kundasang yang pernah dilawati penulis, sedangkan banyak lagi pulau menarik di Semporna, contoh Pulau Mabul, Pulau Sipadan dan Pulau Bohey Dulang.

Penulis menyatakan Malaysia sememangnya, begitu kaya dengan khazanah destinasi percutian yang istimewa termasuk keseronokan penginapan desa yang menjanjikan pengalaman kehidupan di desa seperti menanam atau menuai padi.

Malaysia juga begitu kaya dengan pemandangan alam semula jadi, termasuk banyak pulau dan kawasan perhutanan yang indah.

Beliau menambah, tidak termasuk lagi destinasi membeli-belah seperti kawasan bebas cukai, lokasi sejarah mahupun percutian bersandarkan aktiviti ekstrem serta pelbagai jenis makanan tempatan yang pastinya menjanjikan keseronokan berganda yang mungkin tidak diduga sebelum ini.

Penulis juga merasa yakin masih ramai lagi yang belum mengenali dengan lebih dekat pelbagai keistimewaan sesuatu kaum dan etnik di negara itu. Malah penulis menyatakan itulah antara harta yang sangat berharga dan dikagumi masyarakat antarabangsa kerana keunikan budaya masyarakat majmuk negara seperti penghasilan produk kraftangan turut menjadi tumpuan pelancong luar.

Ketika beliau membuat liputan untuk program Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) di Sarawak, beliau begitu teruja sebaik melihat penghasilan kraf produk suku kaum Iban seperti anyaman pua kumbu di mana sebelum ini beliau belum pernah melihatnya.

Beliau berpendapat banyak lagi produk kraftangan negara warisan nenek moyang sesuatu kaum atau etnik yang menarik serta unik yang mungkin masih belum dikenali ramai.

Penulis juga menambah, betapa sayangnya orang ramai melepaskan peluang begitu sahaja yang cenderung memilih luar negara sebagai destinasi pelancongan, sedangkan pelancong luar begitu sukakan dengan keunikan produk kraftangan negara dan juga pengalaman menarik percutian di Malaysia.

Sememangnya tidak menjadi salah, tetapi tidak salah untuk turut sama menghargai keunikan yang ada selain menyedari bahawa Malaysia juga sebenarnya sangat istimewa sehingga berjaya menambat hati ramai pelancong antarabangsa.

Menurut penulis banyak manfaat apabila bercuti dalam negara. Bukan sahaja lebih menjimatkan, tetapi ia juga membantu pengusaha pelancongan tempatan serta merancakkan lagi program Tahun Melawat Malaysia (VM2020).

Bagi mengalakkan masyarakat tempatan melancong dalam negara, beberapa inisiatif diperkenalkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan bekas Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lepas.

Antaranya, pengguna bakal memperoleh pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik, rakyat Malaysia diberi baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, kereta api dan penginapan di hotel berlesen.

Di samping itu, kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosi pelancongan. Peruntukan sebanyak RM500 juta disediakan untuk langkah ini selain melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.

Pakej bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” yang bernilai RM20 bilion ini adalah merupakan usaha menangani ekonomi akibat penularan wabak penyakit COVID-19.

Langkah yang diperkenalkan ini dilihat dapat menarik minat masyarakat tempatan untuk memanfaatkan inisiatif tersebut dengan memilih bercuti dalam negara. Ini sedikit sebanyak dapat membantu merealisasikan matlamat Malaysia yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong untuk 2020.

Dalam hal ini, pemain industri pelancongan juga perlu menawarkan promosi hebat yang mampu memikat pelancong domestik dan bukan hanya tertumpu kepada pasaran luar sahaja.

Terutama sekali, ketika ini impak daripada COVID-19 menyebabkan pembatalan lebih 157,000 tempahan bilik hotel–kerugian sebanyak RM66 juta dari segi pendapatan sehingga 17 Februari, menurut Persatuan Hotel Malaysia (MAH) baru-baru ini.

Malaysia menerima kira-kira 3.1 juta pelancong dari China pada 2019 dan 2.94 juta pada tahun sebelumnya. Sasaran untuk menerima lebih 3.26 juta pelancong dari negara itu pada 2020 mungkin terjejas akibat penularan COVID-19. –Bernama