Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Agama Islam menggalakkan umatnya untuk mengamalkan amalan berjimat cermat dalam kehidupan seharian sama ada dari segi berbelanja, makan minum, pakaian, penggunaan air, tenaga elektrik dan sebagainya.
Selain Islam juga menggalakkan untuk melakukan amalan yang mulia seperti amalan bersedekah, bantu-membantu, hormat-menghormati dan seumpamanya
Perkara ini dijelaskan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini yang menyentuh mengenai penggunaan tenaga elektrik dengan bijak.Menurut khatib dalam penggunaan tenaga elektrik hendaklah memastikan penggunaan dengan cekap dan bijak supaya sentiasa dapat dinikmati kemudahan ini secara berterusan.
Mengikut statistik dari Jabatan Tenaga pada tahun 2011 menunjukkan, bangunan-bangunan milik kerajaan termasuk sekolah rendah, menengah, universiti dan masjid-masjid menyumbangkan 22 peratus daripada keseluruhan tenaga yang digunakan di negara ini.
“Hasil daripada audit tenaga bagi beberapa buah bangunan kerajaan terdapat beberapa punca utama yang menyumbang kepada penggunaan tenaga yang berlebihan,” tegasnya.
Menurutnya, ini kerana kurangnya kesedaran pengguna dan sikap ‘malas ku ingau’ dalam penggunaan tenaga elektrik.
Selain itu, pembaziran elektrik juga berpunca daripada pengguna yang tidak sewajarnya atau berlebihan, tidak betul dan sistem pendawaian elektrik yang lama dan tidak efisien lagi.
Khatib seterusnya menjelaskan, ini adalah punca utama pembaziran tenaga elektrik di bangunan kerajaan. Sehubungan itu, sebagai pengguna perlunya mengambil perhatian serius dan memberikan kerjasama dalam penggunaan tenaga elektrik bagi mengurangkan pembaziran.
“Penggunaan berlebihan keperluan seharian adalah perbuatan yang membazir dan sebagai orang Islam adalah perlu menghindari perbuatan tersebut,” tegasnya lagi.
Khatib seterusnya mengingatkan untuk sama-sama menjimatkan elektrik dengan beberapa cara yang antaranya memadamkan lampu setelah tidak digunakan lagi selain mengurangkan penggunaan penghawa dingin dan menggunakan jika perlu saja. Selain itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dan ahli keluarga supaya mengamalkan sifat berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik.
Menurutnya lagi, kesedaran pengguna dalam penjimatan tenaga elektrik bukan setakat dalam rumah saja malah di tempat kerja seperti di bangunan kerajaan apatah lagi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Bukan setakat itu, orang ramai dan jemaah juga memainkan peranan dan tanggungjawab sangat penting ke arah penggunaan dan penjimatan tenaga sama ada dalam masjid atau luar bangunan masjid.
Oleh kerana berjimat itu amalan terpuji manakala sikap boros pula adalah amalan terkeji, khatib menyeru untuk sentiasa menghargai dan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik dan menjadikannya sebagai salah satu cara harian sesuai dengan ajaran agama Islam.
Dalam perkara ini, khatib menyeru untuk sama-sama menyemai dan mendidik seterusnya membudayakan diri supaya sentiasa bijak dan cekap dalam penggunaan dan penjimatan tenaga elektrik dan mengelakkan diri daripada melakukan pembaziran.
“Amalkan sifat bersederhana dalam kehidupan dan dengan itu kita akan sentiasa menjadi hamba Allah yang beriman, bertakwa, bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T,” tambahnya.