Jimenez, Wolves mula tunjuk taring

LONDON, 20 OKT – Wolves naik ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam ketika jaringan Raul Jimenez meraih kemenangan 1-0 di Leeds, sementara West Bromwich Albion dan Burnley seri tanpa jaringan pada perlawanan sebelum itu.

Pasukan Nuno Espirito Santo meraih kemenangan ketiga liga dalam kempen tersebut ketika rembatan Jimenez di separuh masa kedua melepasi pemain tengah Leeds, Kalvin Phillips. Ia merupakan jaringan ketiga dari penyerang Mexico tersebut musim ini menjadikan kemenangan berturut-turut untuk Wolves setelah mereka menewaskan Fulham sebelum perlawanan antarabangsa.

“Ia adalah prestasi yang baik dengan beberapa aspek perlu ditingkatkan. Kami lebih baik pada separuh masa kedua, tetapi pada awalnya sangat sukar bagi kami,” kata Nuno.

“Leeds begitu dinamik. Kami harus menyesuaikan diri dan lebih klinikal di depan. Jaringan yang baik adalah selepas menemui peluang.”

Leeds kini tewas dua perlawanan selepas pertama kali tewas dalam liga menentang juara Liverpool.

Aksi Raul Jimenez (tengah) ketika melakukan rembatan untuk jaringan golnya semasa perlawanan antara Leeds United dan Wolverhampton Wanderers semalam. – AP

“Pada separuh masa pertama, kami seharusnya menunjukkan perbezaan,” kata bos Leeds, Marcelo Bielsa.

“Kami mencipta cukup peluang untuk mendahului perlawanan. Saya tidak fikir mereka lebih baik daripada kami tetapi mereka mengawal perlawanan kami dengan lebih baik.”

Pasukan Bielsa mendominasi di se-paruh masa pertama, tetapi Wolves gagal menemui peluang baik kerana pertahanan Leeds terus bertahan.

Tandukan awal penyerang Leeds, Patrick Bamford diberikan ofsaid dan pasukan tuan rumah ditolak rayuan penalti setelah Helder Costa dijatuhkan oleh Joao Moutinho.

Wolves nyaris menjaringkan gol ketika rembatan jarak dekat Daniel Podence diselamatkan oleh Illan Meslier.

Jimenez menjaringkan gol di minit ke-70 ketika dia membawa bola dari sayap kanan dan melepasi pertahanan Leeds sebelum melakukan rembatan. – AFP