Jin Wei gantung raket

KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei (gambar) hari ini mengejutkan dunia badminton, apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan itu pada usia 21 tahun.

Pemain berasal dari Pulau Pinang mengumumkan persaraan pada usia muda itu menerusi satu video yang dimuat naik di YouTubenya, hanya dua hari selepas tidak tersenarai dalam skuad Piala Sudirman. Jin Wei menyatakan antara sebab keputusannya itu kerana tempoh pemulihan yang panjang selepas  menjalani pembedahan akibat sakit dalam perut pada 2019.

“Saya telah bersama pasukan kebangsaan selama tujuh tahun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk peluang dan juga kepada semua rakan dan peminat. Saya harap semua kekecewaan dan impian saya, akan dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan, Lee Zii Jia dan Lai Pei Jing,” katanya.

Pada Sabtu, BAM tidak menyenaraikan Jin Wei dalam skuad Piala Sudirman disebabkan ‘tidak bersedia dari segi fizikal’ untuk kejohanan berpasukan campuran itu, tetapi menye-naraikannya untuk Piala Uber.

Piala Sudirman dijadualkan berlangsung di Vantaa, Finland dari 26 September hingga 3 Oktober, manakala akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Oktober. – Bernama