JIPK: 345 diambil tindakan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Seramai 345 warga asing telah pun diambil tindakan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dengan kebanyakannya melanggar tiga peraturan utama, daripada Januari 2019 sehingga 30 September 2020.

Statistik pesalah imigresen itu dikongsi oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini di sini, menekankan bahawa kebanyakan kesalahan itu adalah daripada Peraturan 9 (4) iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial, Peraturan 15 (2) menyalahgunakan pas kerja dan Peraturan 15 (3) iaitu melakukan pekerjaan tidak seperti tercatat dalam pas kerja.

Pesalah-pesalah ini didapati melakukan kesalahan imigresen di premis perniagaan seperti kebun sayur, gerai sayur, gerai buah, gerai Nasi Katok, gerai kuih-muih, berjaja di kampung, pasar ikan dan daging, gerai bunga dan sebagainya.

Pesalah-pesalah ini boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih $2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali atau kompaun tidak lebih $600 di bawah peruntukan Bab 58A. Mereka juga berdepan tindakan pengusiran ke negara asal dan disenarai hitamkan.

Dalam pada itu, pada Operasi Pumpung JIPK 133/2020 dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK yang menumpukan tiga buah kedai runcit di kawasan Kampung Serusop kelmarin meme-riksa tiga warga asing dan kesemua me-reka disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya kerana dipercayai menyalahgunakan syarat pas imigresen.

Operasi antara lain bertujuan melakukan rondaan berterusan dan pemeriksaan berdasarkan maklumat diperolehi daripada kerjasama orang ramai berpandukan maklumat terkumpul, sama ada operasi dijalankan bersendirian atau bersama agensi penguat kuasa lain.

Ia juga bagi menguatkuasakan Akta dan Peraturan Imigresen, Akta dan Peraturan Pasport dan memastikan ia sentiasa dipatuhi dalam usaha mengesan pesalah dan menguatkuasakan Perintah Pencegahan Penyeludupan Orang 2019 dan Perintah Antipermerdagangan Orang 2019 serta apa jua kegiatan bertentangan dengan undang-undang dan peraturan negara.

JIPK turut menyeru kerjasama orang ramai melaporkan kegiatan menyalahi undang-undang imigresen dengan menghubungi talian hotline 8734888 dan 8753888 dengan pemberi maklumat akan dirahsiakan identitinya.

Antara pekerja asing yang diperiksa dalam Operasi Pumpung 133 di Kampung Serusop baru-baru ini. – Gambar serahan JIPK