Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    JIPK beroperasi 12 jam, tak perlu beratur awal pagi lagi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) hari ini mengumumkan pelanjutan waktu operasi beberapa kaunter-kaunter utama di jabatan itu bermula 26 September ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan JIPK di sini, bagi Bahagian Dokumen Perjalanan dan Bahagian Kad Pengenalan pintar, waktu beroperasi di Ibu Pejabat JIPK bermula jam 7 pagi hingga 7 malam setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

    Sementara itu, Jumaat akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 11 pagi. Di samping itu, kaunter-kaunter perkhidmatan khas termasuk warga emas berumur 60 tahun ke atas akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang dan ditempatkan di Tingkat 3, Ibu Pejabat JIPK.

    Kaunter perkhidmatan pengambilan dokumen perjalanan iaitu tempat pengambilan dokumen perjalanan adalah di aras bawah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang yang bero-perasi pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu serta dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi pada Jumaat.

    Dalam pada itu, waktu operasi bagi perkhidmatan pendaftaran dan pengambilan dokumen perjalanan di cawangan Kuala Belait, Tutong dan Temburong pula bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan pukul 1:45 petang hingga 4 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu serta dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi pada Jumaat. Sehubungan itu, JIPK menasihatkan orang ramai untuk tidak datang terlalu awal mendapatkan nombor giliran memandangkan kedua-dua kaunter tersebut akan dibukakan selama 12 jam bermula esok.

    Bagi Bahagian Kad Pengenalan pula, kaunter perkhidmatan pendaftaran dan pengambilan kad pengenalan akan mula dibukakan pada setiap Jumaat di semua pejabat cawangan, JIPK bermula 30 September, dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi.

    JIPK juga menasihatkan orang ramai untuk melengkapkan borang permohonan dan membawa dokumen-dokumen berkaitan yang diperlukan bagi melancarkan proses pendaftaran.

    Mereka juga diperingatkan untuk memastikan kesemua individu yang hendak membuat permohonan sama ada di Bahagian Dokumen Perjalanan atau Bahagian Kad Pengenalan untuk menghadirkan diri semasa pengambilan nombor giliran diberikan.

    Borang-borang pendaftaran boleh dimuat turun melalui laman sesawang JIPK, www.immigration.gov.bn. Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bagi sebarang pertanyaan, mereka boleh menghubungi melalui e-mel, info@immigration.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...