JIPK kutip lebih setengah juta denda kompaun

Gambar serahan JIPK

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Dari 1 April 2019 hingga 31 Mac lalu, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah mengutip lebih $500,000 hasil denda kompaun yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah imigresen yang telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah akta dan peraturan imigresen.

JIPK mengongsikan jumlah berkenan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, di mana denda-denda kompaun berkenaan dikeluarkan dalam pelbagai operasi dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK seperti Operasi Pumpung yang dilaksanakan di beberapa lokasi hari ini dan kelmarin. Hari ini, operasi berkenaan telah menyasarkan tiga buah lokasi yang berbeza di Mukim Gadong B dan Mukim Kilanas.

Semasa memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Kampung Mata-Mata, Gadong, pihak penguat kuasa telah menahan seorang lelaki warganegara asing kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah sewaktu pemeriksaan.

Manakala di lokasi kedua, sebuah rumah tempat tinggal warganegara asing di Perpindahan Rakyat Jati Kampung Mata-Mata Gadong, telah memeriksa sembilan orang lelaki warganegara asing yang tinggal di rumah tersebut.

Lima daripadanya telah ditahan dan dibawa ke bahagian berkenaan kerana telah melanggar Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 antaranya gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah dan seorang warganegara asing tergolong dalam senarai pekerja lari dari Majikan.

Operasi Pumpung yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK pada 13 Oktober.
Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK semasa operasi yang dijalankan di tiga buah lokasi yang berbeza di Mukim Gadong B dan Mukim Kilanas.
Pegawai penguat kuasa turut menemukan barangan tegahan berupa sejumlah karton dan paket rokok di dalam salah sebuah bilik sewa di Kampung Kilanas.

Manakala itu, satu pas khas telah dikeluarkan bagi tujuan melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan di lokasi terakhir, rumah sewa di Kampung Kilanas pula telah berhasil menahan lima orang warganegara asing terdiri daripada tiga lelaki dan dua orang perempuan atas kesalahan lari daripada majikan dan tinggal lebih masa setelah tempoh pas imigresen mansuh.

Pegawai penguat kuasa turut menemukan barangan tegahan berupa sejumlah karton dan paket rokok di dalam salah sebuah bilik sewa di lokasi tersebut.

Kes tersebut telah diambil alih oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) berserta seorang yang mengakui memiliki rokok tersebut bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Di Daerah Belait, operasi serupa juga telah dijalankan dengan menyasarkan kerja-kerja penambahan rumah di kawasan Panaga, Seria di mana tiga lelaki warga asing telah diperiksa dan dikeluarkan pas khas untuk melaporkan diri ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Kuala Belait bagi tujuan pengesahan pasport asal untuk siasatan di bawah Peraturan Imigresen Penggal 17 dan bagi tindakan selanjutnya

Sementara itu, kelmarin, seorang perempuan warga asing telah ditahan dalam operasi sama yang menyasarkan pondok jualan di sebuah tapak projek bangunan yang dalam pembinaan di Jalan Muara.

Perempuan berkenaan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK Bandar Seri Begawan untuk disiasat di bawah Akta dan Peraturan Imigresen Penggal 17 dan tindakan selanjutnya.

Sehubungan dengan itu, JIPK mengingatkan para majikan supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja masih sah kerana adalah menjadi kesalahan sekiranya pekerja tersebut bekerja sedangkan pas imigresen telah mansuh dan seterusnya menasihatkan supaya mereka sentiasa mengetahui keberadaan pekerja setiap masa.

JIPK juga memberikan amaran kepada mana-mana warganegara asing yang melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan mereka akan diusir dari negara ini dan nama-nama mereka akan disenaraihitamkan.

Warganegara asing di negara initurut dinasihatkan untuk tidak membuat urusan atau menyerahkan pasport kepada individu-individu yang mengelar diri mereka sebagai ejen yang boleh membuat urusan-urusan pasport kepada agensi yang berkenaan dan setelah itu menghilang tidak diketahui di mana keberadaannya.