JIPK tambah kapasiti perkhidmatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Selaras dengan Garis Panduan Fasa Peralihan, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) akan menambah kapasiti dan membuat tambahan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai berkeperluan penting di ibu pejabat dan pejabat-pejabat cawangan, JIPK bermula hari ini.

Operasi kaunter-kaunter perkhidmatan JIPK yang berkaitan dengan pembayaran akan bermula hari Isnin hingga Khamis jam 8:15 hingga 11:45 pagi.

“Sementara perkhidmatan yang tidak melibatkan pembayaran adalah dari 8:15 pagi hingga 1:30 petang,” umum Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa sidang me-dia di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin dalam kenyataannya menjelaskan, perkhidmatan-perkhidmatan yang dikemas kini semula itu adalah seperti perkhidmatan pas pekerja iaitu melalui kaedah drop box bagi permohonan visa kerja yang telah mendapatkan kebenaran masuk entry travel pass (ETP).

Manakala itu, bagi kaedah walk in pula adalah bagi permohonan pembatalan pas kerja atau pas tanggungan bagi sektor kerajaan, swasta dan persendirian dan permohonan penyambungan pas kerja dan pas tanggungan bagi sektor kerajaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengumumkan tambahan kapasiti perkhidmatan JIPK, kelmarin. – Gambar serahan Muiz Matdani

Sementara itu, melalui kaedah tempahan e-mel untuk permohonan penyambungan pas kerja dan pas tanggungan bagi sektor swasta dan persendirian dan permohonan re-entry visa.

Beliau seterusnya menambah, untuk Perkhidmatan Visa Lawatan dan Diplomatik pula, melalui kaedah drop box adalah bagi permohonan visa lawatan profesional dan Berniaga dengan kebenaran ETP dan permohonan baharu dan penyambungan pas penuntut.

Melalui kaedah walk in adalah bagi permohonan pembatalan pas lawatan dan pas penuntut dan kaedah tempahan e-mel untuk permohonan penyambungan pas lawatan profesional dan berniaga, permohonan kebenaran perkahwinan bagi warganegara Brunei dan penduduk tetap untuk berkahwin dengan warganegara asing.

Pendaftaran baharu dan pembaharuan pasport dan dokumen perjalanan boleh dibuat melalui tempahan WhatsApp dan e-mel.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, perkhidmatan kad pengenalan pintar boleh dibuat melalui kaedah tempahan slot melalui e-mel dan telefon untuk permohonan pendaftaran kad pengenalan pintar individu yang mencapai umur 12 tahun iaitu bagi warganegara Brunei dan penduduk tetap sahaja; permohonan pembaharuan kad pengenalan pintar yang hilang, permohonan pendaftaran dan pembaharuan kad pengenalan pintar yang perlu diperbaharui atas urusan mustahak; sementara melalui kaedah hotline bagi tempahan slot bagi pengambilan kad pengenalan pintar.

Sehubungan itu, untuk makluman orang ramai, JIPK juga akan melanjutkan waktu operasi kaunter perkhidmatan kad pengenalan di Ibu Pejabat JIPK sehingga pukul 3:30 petang pada waktu pejabat.

Di samping itu, jabatan itu juga akan membuka kaunter pendaftaran pada hari kelepasan awam iaitu pada Jumaat bermula 8:15 hingga 11 pagi di Ibu Pejabat JIPK dan
cawangan jabatan di Kuala Belait.

Manakala untuk perkhidmatan kelahiran, kematian dan anak angkat boleh dibuat melalui kaedah tempahan slot melalui e-mel dan hotline, permohonan pendaftaran sijil kelahiran, kematian dan anak angkat dan pengambilan sijil kelahiran, kematian dan anak angkat.

Untuk makluman orang ramai, JIPK akan memperluaskan perkhidmatan dengan menggunakan De-wan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, dan Bangunan Serbaguna Persiaran, Kuala Belait bagi perkhidmatan pendaftaran sijil kelahiran dan sijil kematian yang akan bermula 26 November ini.

Manakala permohonan permit masuk dan kerakyatan bagi permohonan permit masuk bagi mendapatkan taraf penduduk tetap dan penyambungan re-entry permit dan visa serta permohonan kerakyatan akan dibuka semula dengan menggunakan kaedah drop box.

KHEDN juga ingin merujuk semula seperti yang dinyatakan di dalam siaran akhbar JIPK sebelum ini, mana-mana kad pengenalan pintar dan pas-pas imigresen yang telah mansuh serta pendaftaran lewat bagi kelahiran, kematian dan anak angkat dalam tempoh penutupan kaunter mulai 14 Ogos 2021, tindakan undang-undang tidak akan dikenakan.

Maklumat pengemaskinian kaedah perkhidmatan yang dinyatakan tersebut boleh diperolehi secara lebih terperinci dengan melayari laman sesawang JIPK www.immigration.gov.bn atau melalui e-mel info@immigration.gov.bn atau talian hotline WhatsApp 7299550.