JIPK umum perubahan operasi perkhidmatan kaunter

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Berikutan perkembangan situasi terkini wabak COVID-19 di negara ini, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah memaklumkan perubahan operasi perkhidmatan-perkhidmatan kaunter di ibu pejabat dan pejabat-pejabat cawangannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, JIPK menjelaskan bahawa bagi bahagian-bahagian perkhidmatan kaunter yang masih beroperasi di ibu pejabat seperti kad pengenalan pintar; bahagian kelahiran, kematian dan anak angkat, pas kerja asing, visa, lawatan dan diplomatik, penguatkuasaan undang-undang, waktu operasi adalah dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 1:45 petang hingga 3 petang.

Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa bagi Bahagian Kad Pengenalan Pintar, Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat serta Bahagian Pas Pekerja Asing, orang ramai perlu membuat tempahan slot atau temu janji dan permohonan walk-in adalah ditiadakan.

Bagi Bahagian Visa, Lawatan dan Diplomatik dan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, waktu operasi adalah pada Isnin hingga Khamis dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 1:45 petang hingga 3 petang.

Sementara itu, bagi cawangan-cawangan Daerah Tutong, Temburong dan Belait, orang ramai juga perlu membuat tempahan slot atau temu janji bagi Bahagian Kad Pengenalan Pintar; Bahagian Visa, Lawatan dan Diplomatik; Bahagian Pas Pekerja Asing dan Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat di mana permohonan secara walk-in adalah ditiadakan. Waktu operasi bagi cawangan-cawangan berkenaan juga sama seperti di ibu pejabat.

Orang ramai yang hendak berurusan dinasihatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti lazimnya.

Manakala itu, bagi bahagian-bahagian perkhidmatan kaunter yang ditutup sementara bermula kelmarin adalah Bahagian Dokumen Perjalanan (pasport), Bahagian Permit Masuk, Bahagian Warganegara, Bahagian Sekretariat Entry Travel Pass dan Bahagian Sekretariat Arrival Declaration Form. Orang ramai boleh menghubungi talian-talian yang disediakan oleh setiap bahagian untuk membuat tempahan.

Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan memaklumkan perubahan operasi perkhidmatan-perkhidmatan kaunter di ibu pejabat dan pejabat-pejabat cawangannya. – Gambar fail Muiz Matdani