Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Sebuah bilik tidur mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran rumah yang berlaku di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Tanah Jambu pada pagi, 9 Februari lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, tujuh orang anggota bomba dan penyelamat dan dua buah jentera dari Balai Bomba Muara, Cawangan Operasi A yang diketuai oleh ASO Haji Kamal bin Haji Judin, dikejarkan ke insiden kebakaran rumah iaitu bilik tidur di RPN Kampung Tanah Jambu pada pukul 9:54 pagi.
Sebelum anggota JBP tiba ke tempat kejadian, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan daripada merebak oleh dua orang jiran di mana salah seorang daripada mereka merupakan seorang anggota bomba, ABK 1140 Alinor bin Haji Janaib dan seorang warga awam iaitu Awang Azmi bin Bujang, dengan menggunakan tiga biji alat pemadam api jenis debu kering sembilan kilogram dan dua kilogram sebelum jentera bomba sampai.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa kebakaran melibatkan keseluruhan sebuah bilik tidur di tingkat atas rumah teres jenis dua tingkat yang dihuni oleh tiga orang penghuni.
Manakala, hanya seorang penghuni mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pihak paramedik untuk tindakan selanjutnya.
Menurut JBP, siasatan bagi anggaran kerugian dalam kejadian berkenaan masih dijalan-kan dan tidak ada korban jiwa yang berlaku.
JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas supaya memastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta untuk memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE).
JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995, Kursus Marsyal Bomba dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul penggunaan alat pemadam api.
Orang ramai juga disarankan jika berlaku sebarang insiden kecemasan untuk meng-hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.